KOTA BHARU - Menunaikan solat hajat dan membaca al-Quran antara kunci kejayaan seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis.
Aina Norain Mohd Zamanshahril, 18, yang mendapat 8A 1B berkata, dia tidak pernah menyangka akan memperoleh keputusan tersebut memandangkan ujian percubaan lalu hanya mendapat 6A.
Menurutnya, kejayaannya itu adalah hadiah buat ibu dan arwah ayahnya.
"Alhamdulillah ini semua kerjasama daripada cikgu yang banyak tolong saya.
"Sebelum ini pada tahun 2019, saya sibuk dengan projek sekolah di peringkat antarabangsa dan hampir setahun saya hilang fokus.
"Selepas semuanya selesai, dalam masa dua hingga tiga bulan, saya terpaksa 'mengulangkaji' kembali semua silibus yang saya tertinggal. Mujur kawan-kawan dan cikgu bagi kerjasama," katanya.
Anak kedua daripada enam beradik yang kini tinggal bersama ibunya, Siti Azehan Jusoh@Ab Talib, 41, di rumah neneknya di Kampung Huda di sini amat meminati dunia teknologi dan sering mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan.
Malah Aina yang juga meminati bidang lukisan berkata, lukisan kanvas merupakan cara dia mencari ketenangan selepas seharian sibuk dengan urusan pembelajaran mahupun menelaah projek-projek yang disertainya.
"Lukisan adalah dunia kedua saya, saya akan lepaskan semua perasaan saya melalui lukisan tersebut dan saya lebih memilih konsep pemandangan peribadi kerana ia lebih menenangkan.
"Insya-ALLAH dengan apa yang saya dapat ini, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk bantu ibu saya dan adik-adik yang lain bagi memastikan mereka juga dapat belajar sehingga ke menara gading," katanya.
Meminati jurusan kejuruteraan kimia, Aina turut berkongsi impiannya untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya jika diberikan peluang dan mempunyai kewangan yang cukup.