KEMELUT Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan Kumpulan 11 (G11) memerlukan penyelesaian segera yang lebih tuntas bagi memastikan negara tidak terus ditinggalkan pesaing sukan warisan tersebut pada masa depan.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Pekan Ramli berkata, sekiranya kemelut itu masih terus tidak menemui jalan penyelesaian, ia secara tidak langsung merencatkan pembangunan sukan itu.
"Apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mengenakan penggantungan terhadap PSM, itu sebenarnya sudah pun menghadirkan masalah kepada Malaysia untuk bersaingan dalam kalangan negara ahli gabungan.
"Malaysia dan Thailand adalah antara kuasa terkuat sepak takraw di Asia Tenggara, jadi apabila ASTAF melucutkan keahlian PSM ini menyebabkan ketiadaan kelibat Malaysia dalam sebarang pertandingan di peringkat rantau ini.
"Bukan kerugian kepada Thailand, tapi sebenarnya kerugian kepada Malaysia apabila tidak mempunyai pentas untuk bersaing tambahan pula Malaysia baru hendak kembali membina kekuatan bersaing dengan Thailand,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Tambah Dr Pekan lagi, situasi akan menjadi lebih parah sekiranya kemelut ini terus berpanjangan apabila status Malaysia dalam sukan warisan ini sudah mula menurun dengan kehadiran pencabar baharu seperti Indonesia dan Myanmar.
Menurut Dr Pekan, apabila ASTAF menyingkirkan PSM dari badan induk tersebut secara tidak langsung merencatkan pembangunan dan perkembangan sukan sepak takraw.
"Sejujurnya kita berada dalam kerugian apabila disingkirkan daripada ASTAF, kerana untuk membangunkan semula sukan sepak takraw ini bukannya mengambil masa setahun dua.
"Kita sebenarnya memerlukan masa lima ke 10 tahun untuk membina semula kekuatan sukan sepak takraw negara, dan ini bukannya satu tempoh yang singkat apabila membicarakan soal pembangunan,” katanya.
Pada masa sama Dr Pekan menyifatkan hukuman yang dikenakan oleh badan induk sepak takraw Asia tersebut dalam konteks pembangunan sukan antarabangsa merupakan sesuatu yang agak keras dan tidak wajar dikenakan terhadap ahli gabungannya.
"Mana ada dalam kalangan persatuan sukan antarabangsa yang menghukum persatuan di bawah naungannya secara keseluruhan kalau pemimpin persatuan tersebut didapati bersalah.
"Saya pelik apakah ASTAF tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu yang terpalit dengan pertuduhan dalam isu ini adalah pemimpin persatuan dan bukan persatuan secara keseluruhannya.
"Jadi kenapa apabila pemimpin utama PSM dijatuhkan hukuman yang begitu berat sekali, mengapa pula secara tiba-tiba persatuan berkenaan dikenakan juga hukuman sehingga disingkirkan," katanya.
Namun, Dr Pekan percaya hukuman dikenakan oleh ASTAF adalah bagi membolehkan badan itu melihat PSM melakukan pembaharuan dilakukan secara menyeluruh.
"Pada saya ASTAF ingin melihat sama ada Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan, Pesuruhjaya Sukan, PSM dan G11 mampu mencari jalan penyelesaian tanpa melibatkan pemimpin tertinggi persatuan yang sedang menjalani penggantungan.
"Sekiranya ASTAF berpuas hati dengan penyelesaian dicapai PSM dan G11, jadi tiada keperluan untuk menubuhkan persatuan baharu. Namun pemimpin tertinggi yang digantung itu juga perlu melepaskan jawatannya dalam kesemua jawatannya bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat negeri.
"Saya juga percaya PSM berwajah baharu ini juga tidak berdepan masalah untuk diterima semula menjadi ahli gabungan ASTAF apatahlah selepas mendapat pengiktirafan KBS dan PJS,” katanya.