Tiada pilihan kecuali menang

Iklan
Harimau Malaya bakal berdepan Naga Emas yang menduduki ranking ke-92 dunia di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi Sabtu ini.

HANYA kemenangan! Itu sahaja keputusan yang dapat menyelamatkan peluang skuad Harimau Malaya dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, apabila bertemu Vietnam pada awal pagi Sabtu ini di Stadium Al Maktoum, Dubai.

Vietnam hadir dengan kejayaan membenam Indonesia 4-0 kelmarin untuk menerajui Kumpulan G dengan 14 mata selepas enam perlawanan manakala Malaysia dikecewakan dengan jaringan sama oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lepas dan menduduki tangga keempat kumpulan dengan sembilan mata.

Iklan
Iklan

Di atas kertas, skuad Naga Emas itu yang menduduki ranking ke-92 dunia ternyata berada di kelas berlainan selain rekod pertemuan dan prestasi semasa juga memihak kepada Vietnam.

Sejak jurulatih dari Korea Selatan Park Hang Seo membimbing Vietnam bermula 2017, Malaysia belum mampu mengatasi pasukan tersebut, dan merekodkan keputusan tewas sebanyak tiga kali dan seri sekali, dengan pertemuan terakhir dimenangi Vietnam dengan keputusan 1-0 di Hanoi pada Oktober 2019.

Iklan

Sejak kekalahan tipis 1-0 kepada Jepun dalam aksi suku akhir Piala Asia 2019, Vietnam juga tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan seterusnya, termasuk kejayaan menewaskan UAE 1-0 pada 2019 dan mengikat Jordan 1-1 baru-baru ini.

Ketangkasan pemain Vietnam dalam melakukan serangan balas dan mengawal perlawanan, seharusnya merisaukan pengendali Tan Cheng Hoe dan anak buahnya walaupun skuad Naga Emas itu bakal turun tanpa pemain terbaik mereka, Nguyen Quang Hai yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning.

Iklan

Kehadiran pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia Dion Cools terbukti telah menguatkan benteng pertahanan negara apabila gandingan pemain FC Midtjylland itu bersama Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Matthew Davies dan La'Vere Lawrence Corbin-Ong membolehkan skuad negara bertahan dengan hanya bolos satu gol sehingga ke minit ke-83 menentang UAE.

Namun, prestasi tumpul jentera tengah dan serangan serta kegagalan pemain beraksi sebagai satu pasukan sudah pasti merisaukan Cheng Hoe untuk berdepan juara Piala AFF Suzuki 2018 itu sekali gus menuntut strategi dan taktikal yang efektif untuk mengekang Vietnam.

Tempoh lebih kurang seminggu sejak kekalahan kepada UAE itu, diharap telah dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh barisan pemain negara untuk mendapatkan keserasian dan keakraban di dalam dan luar padang bagi menampilkan aksi yang terbaik.

Dua pemain naturalisasi terbaru negara, penyerang Guilherme De Paula dan tonggak tengah Liridon Krasniqi juga perlu menunjukkan aksi yang diharapkan untuk menjustifikasikan keistimewaan yang diberikan.

Di bahagian sayap, Muhammad Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh yang seolah-olah 'karat' pada aksi sebelum ini, harus mempamerkan taring sebenar pada perlawanan menentang Vietnam dan Thailand pada Rabu depan.

Kehadiran semula Brendan Gan, yang digantung satu perlawanan setelah menerima dua kad kuning dalam pusingan kelayakan itu, turut diharap dapat melancarkan pergerakan di bahagian tengah serta menjadi penghubung di antara pertahanan dan serangan bagi membuat umpanan bahaya untuk merobek gawang lawan.

Dengan peluang di Kumpulan G yang masih terbuka setakat ini, skuad Harimau Malaya perlu melupakan rekod lampau dan kekecewaan sebelum ini untuk tampil yakin dengan kemampuan pasukan sekali gus menamatkan badi kemenangan ke atas skuad kendalian Hang Seo.