ALOR SETAR - Tanggapan bahawa semua penduduk Bukit Malut di Langkawi adalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Myanmar perlu diperbetulkan kerana masyarakat keliru dengan status kewarganegaraan sebahagian besar penduduknya.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr Ibrahim Bakar berkata, persepsi orang ramai dan juga sesetengah media sebelum ini telah memberikan pandangan serong kepada penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.
Menurutnya, Bukit Malut pada awalnya adalah kawasan hutan sebelum kerajaan memindahkan nelayan yang terdiri daripada pekerja pukat bilis ke kawasan tersebut kerana terdapat sebuah teluk di kawasan tersebut.
"Penduduk di situ adalah komuniti asal orang Melayu Kedah yang datang dari Myanmar pada tahun 1982. Suatu ketika dahulu, daerah mereka berada di bawah pemerintahan Kesultanan Kedah.
"Langkawi adalah tempat paling hampir untuk mereka berulang-alik sejak dahulu lagi dan kumpulan pertama ini telah datang untuk mencari perlindungan dan tinggal di Bukit Malut. Mereka ini memang boleh bercakap bahasa Melayu loghat Kedah.
"Mereka ini bukan sahaja ada di Bukit Malut tetapi juga di beberapa kawasan lain di Kedah seperti di Pendang. Lama-kelamaan mereka berasimilasi dengan penduduk setempat dan anak-anak mereka juga ada belajar di sekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Bayas, Langkawi,” katanya kepada Sinar Harian.
Status mengenai penduduk Bukit Malut juga pernah dijelaskan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaklumkan mereka adalah penduduk asal Kedah yang merantau ke Thailand dan Myanmar kemudian kembali semula ke Langkawi.
Dalam pada itu mengulas lanjut, Dr Ibrahim yang merupakan anak jati Langkawi berkata, disebabkan kumpulan pertama itu adalah keturunan rakyat Kesultanan Kedah, mereka diberikan status khas dikenali Melayu Islam Kedah (MIK).
"Bagaimanapun sebenarnya status ini kurang digemari mereka kerana seolah-olah mereka berbeza dengan orang tempatan Kedah. Namun, apa yang perlu yang perlu diberikan tumpuan oleh pihak berkuasa sekarang ini sebenarnya adalah kumpulan baharu Rohingya yang menyeludup masuk.
"Kumpulan baharu ini cuba masuk ke negara ini dengan menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” ulasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rohingya habiskan RM10,000 untuk masuk Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: Kelulusan rentas negeri turun empat kali ganda