SEREMBAN - Seorang suri rumah membuat laporan polis terhadap seorang usahawan kosmetik yang dianggap mempergunakan kanak-kanak untuk mendapatkan perhatian.
Wanita berusia 45 tahun itu berkata, dia tidak mewakili mana-mana badan persatuan, sebaliknya terpanggil untuk membuat laporan polis atas rasa tanggungjawab sebagai seorang ibu dan ahli masyarakat.
Katanya, perbuatan usahawan kosmetik itu sangat memalukan, lebih-lebih lagi apabila dia bersama seorang lagi rakannya, membuat dandanan seksual di hadapan kanak-kanak bawah umur.
"Sesi Instagram live yang mereka buat bersama kanak-kanak bawah umur itu sangat memalukan dan tindakan tegas perlu diambil segera sebagai pengajaran kepada orang lain.
"Saya sebagai seorang ibu rasa terkesan dengan perbuatan tersebut, malah berasa marah dan bimbang berlakunya keruntuhan moral terhadap kanak-kanak itu, keluarga dan masyarakat.
"Penggunaan kata-kata lucah dan berunsur seksual yang digunakan oleh mereka tidak sepatutnya berlaku dan perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, tindakan mereka membuat siaran secara langsung seolah-olah mempunyai niat jahat terhadap kanak-kanak tersebut dan masyarakat.
"Saya mengesa pihak berkuasa menyiasat video tersebut dan mengambil tindakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada semua pihak terlibat," katanya.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Seremban pada petang Khamis.
Pada Rabu lalu, usahawan terbabit mengadakan sesi Instagram live bersama dua kanak-kanak dengan beraksi tidak senonoh dan mengeluarkan kata-kata lucah berunsur seksual.
Perbuatan itu didakwa sebagai dandanan seksual.