KEPALA BATAS - Seorang pemilik kilang proses ayam ditahan selepas dipercayai membakar motosikal milik salah seorang pekerja di kilangnya di Tasek Gelugor, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU pada jam 1 petang.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada jam 9.30 pagi Khamis.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu mendapati motosikalnya yang diparkir di tempat kerjanya terbakar pada jam 6 petang dan hanya tinggal kerangka Selasa lalu.
"Dia mengesyaki ia perbuatan majikannya kerana sehari sebelum kejadian berlaku perselisihan faham antara mereka berdua.
"Hasil siasatan mendapati motosikal itu ditinggalkan suspek sejak seminggu lalu di lokasi kejadian kerana mengalami kerosakan kecil," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Norzainy, punca kejadian itu kerana suspek tidak berpuas hati selepas mangsa meninggalkan kereta di tepi jalan akibat kehabisan petrol.
"Pada Isnin lalu, mangsa telah meminjam kereta suspek untuk berjumpa dengan kawannya di Kubang Menerong, Tasek Gelugor. Bagaimanapun, kereta tersebut kehabisan minyak lalu mangsa meninggalkannya di tepi jalan.
"Mangsa kembali semula bersama suspek keesokan harinya untuk mengambil kereta tersebut tetapi kenderaan itu tetap rosak walaupun telah diisi petrol. Suspek yang tidak berpuas hati kemudian balik ke kilangnya lalu membakar motosikal milik mangsa," katanya.
Noorzainy berkata, kejadian tersebut disaksikan ibu dan jiran suspek yang cuba menghalangnya namun gagal.
Katanya, suspek turut menghantar gambar motosikal yang sedang terbakar kepada mangsa kerana terlalu marah selepas kereta yang dipinjam mangsa masih tidak dapat bergerak walaupun sudah diisi petrol.
"Polis merampas beberapa barangan termasuk sebuah telefon bimbit, cebisan kain yang terdapat kesan terbakar, satu pemetik api dan sekeping nombor plat motosikal yang terbakar," katanya.
Noorzainy berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala saringan air kencingnya juga negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.