SHAH ALAM - Kedudukan kerajaan yang goyah antara punca mempengaruhi keputusan menangguhkan persidangan Dewan Rakyat dalam tempoh yang lama.
Pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, kerajaan mungkin bimbang situasi yang pernah menimpa bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Disember tahun lepas akan berlaku lagi.
"UMNO walaupun berada dalam kerajaan, mengemukakan usul undi percaya. Kemudian apabila berlaku pengundian, UMNO tidak mengangkat tangan, tidak menyokong undi percaya yang dikemukan sendiri.
"Kesannya berlaku perubahan kerajaan dan sebagainya. Tidak mustahil berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan.
"Ini mungkin perkara yang dirisaukan,” katanya pada Wacana Sinar edisi ke-264 bertajuk ‘Parlimen Hibrid: Solusi Buat MP’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Hadir sama sebagai panelis,Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir manakala Edlyanna Hanie Abu Hamid bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aspek kestabilan kerajaan memainkan peranan penting bagi melaksanakan kuasa secara bulat dan diterima oleh rakyat.
"Apabila bercakap soal Parlimen, apa salahnya nyatakan secara terbuka bahawa itu antara isu yang perlu ditangani oleh kerajaan iaitu risiko jatuhnya kerajaan apabila berlaku pengundian di dalam Parlimen.
"Itu tidak mustahil berlaku. Sekiranya tidak berani, sekurang-kurangnya kerajaan perlu mengambil langkah terpilih iaitu melihat kepada beberapa fungsi Parlimen yang boleh dilaksanakan tanpa terlibat dengan risiko berkenaan,” ujarnya.