Tasik Chini diceroboh: Kerajaan sedia ambil tindakan

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Kerajaan negeri mengesahkan satu tindakan susulan bersepadu melibatkan beberapa jabatan kerajaan ekoran aduan mengenai aktiviti perlombongan berhampiran Tasik Chini, Pekan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan susulan itu diambil 20 Februari lalu selepas pihaknya menerima aduan daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari dan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehari kemudiannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aduan diterima berkaitan kerancakkan aktiviti perlombongan secara tiba-tiba di tapak lombong yang berada di lokasi itu hingga menghampiri perairan Tasik Chini.

"Aduan yang diterima juga berkaitan peningkatan pergerakan keluar masuk lori mengangkut tanah yang disyaki bijih besi dari tapak Pusat Latihan Kemahiran Negara (PLKN) berhampiran selepas jam 10 malam setiap hari.

Iklan

"Ekoran aduan diterima itu, tindakan bersepadu bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan dijalankan petang Rabu lalu di tapak PLKN berkenaan dan kawasan lombong yang dimaksudkan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, ketika pihaknya tiba di lokasi mendapati tiada sebarang kerja-kerja dijalankan atau jentera ditinggalkan.

Iklan

"Bagaimanapun kita dapati ada kesan penebangan pokok dan aktiviti mengorek tanah dipercayai untuk penjualan,”katanya.

Menurutnya, berdasarkan semakan, tanah tersebut masih milik kerajaan dan dalam proses untuk pertukaran hakmilik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

"Berdasarkan perbincangan bersama oleh jabatan-jabatan terlibat, PTG, PDT Pekan dan JMG diberi tanggungjawab mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan dan menyediakan laporan lengkap mengenainya.

"Keputusan juga dibuat agar satu pasukan pengawasan penguatkuasaan PTG ditempatkan di tapak lain dalam kawasan yang dipercayai telah diceroboh untuk tujuan perlombongan tersebut,” katanya.