Cheng Hoe yakin pemain bersedia berdepan Vietnam

Iklan
Pemain menjalani latihan menjelang aksi berdepan Vietnam. Gambar kecil: Cheng Hoe

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yakin kesebelasan pemainnya telah bersedia untuk berdepan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023, pada awal pagi Sabtu.

Menurut Cheng Hoe, kesemua pemain telah melalui beberapa sesi latihan sejak beberapa hari lalu sebagai persiapan untuk berdepan skuad Naga Emas itu.

Iklan
Iklan

"Setelah hampir seminggu melakukan persiapan saya yakin pemain-pemain telah bersedia untuk berdepan Vietnam.

"Biarpun kami tidak mendapat keputusan yang baik berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tetapi saya percaya, pemain telah bersedia khususnya dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi perlawanan berkenaan,” katanya pada Khamis.

Iklan

Pada aksi berdepan UAE minggu lalu, skuad negara tewas 0-4 dan sekali gus menempah laluan penuh liku dalam usaha layak ke pusingan seterusnya bagi kempen Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menyifatkan aksi berdepan Vietnam sebagai aksi paling penting buat skuad negara pada kempen kelayakan kali ini dalam usaha untuk layak beraksi ke pusingan seterusnya.

Iklan

Katanya, biarpun diberitakan Vietnam bakal beraksi tanpa beberapa pemain utama namun pemain-pemain pengganti yang bakal beraksi kelak juga dilihat mampu memberikan ancaman kepada skuad negara.

"Mereka (Vietnam) telah beraksi dengan baik ketika menewaskan Indonesia 4-0 sebelum ini.

"Oleh itu, perlawanan dengan Vietnam ini sangat penting buat kita untuk mara lebih jauh pada aksi kelayakan kali ini dan sudah semestinya sebagai jurulatih saya berharap agar pemain kekal fokus dan beraksi dengan penuh yakin kelak,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan Dion Cools Sementara itu pemain pertahanan, Dion Cools berharap agar semua pemain bersedia bagi mengharungi perlawanan berdepan Vietnam, dalam usaha untuk menghasilkan keputusan yang positif kelak.

Pemain kacukan Belgium/Malaysia itu berakta, perlawanan berkenaan juga nyata satu perlawanan yang penting bagi memastikan skuad negara mara ke pusingan seterusnya.

"Tentunya kekalahan 0-4 baru-baru ini adalah sesuatu yang sukar untuk diterima. Tetapi walau apa pun yang terjadi, kami menang dan tewas sebagai satu pasukan.

"Bagaimanapun, perlawanan berdepan Vietnam ini ternyata satu cabaran buat kami dan kami akan cuba menyajikan aksi yang terbaik,” katanya.

Malaysia bakal berdepan Vietnam pada 12.45 tengah malam ini (8.45 malam waktu UAE).