SHAH ALAM - Seorang kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu borang pelepasan gadaian (Borang 16N) yang menyebabkan Standard Chartered Bank mengalami kerugian sebanyak RM4.14 juta, tujuh tahun lalu.
Han Hee Siew, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian, Petaling, pada 26 Mac 2014.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 467 KK yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ainul Amirah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Shalehhuddin Salam.
Ainul Amirah menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin namun, Shalehhuddin memohon jaminan lebih rendah.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana tiada penjamin yang hadir ketika mahkamah bersidang.
Kes disebut semula pada 14 Julai depan.- Bernama