Persiapan barangan bayi hangus sekelip mata

Iklan
Siti Nur menunjukkan bilik tidurnya yang hangus dalam kejadian kebakaran itu pada Khamis.

TANJONG KARANG - Luluh hati seorang ibu hamil apabila semua kelengkapan barangan bayi yang baharu dibelinya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Batu 9 1/2 Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Siti Nur Haziqah Hashim, 22 berkata, kejadian jam 12.45 tengah hari itu mengakibatkan barangan persiapan menyambut kelahiran anak sulungnya hangus dalam sekelip mata.

Iklan
Iklan

Siti Nur Haziqah yang hamil enam bulan berkata, semua kelengkapan itu baharu sahaja dibelinya di Pekan Tanjong Karang pada pagi hari kejadian.

"Mulanya rasa teruja sebab dapat membeli barangan keperluan bayi, tapi malangnya semua barangan itu tak sempat diselamatkan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan jeritan anak saudaranya, Nur Damia Qistina Mohd Fauzal, 11 menyuruhnya segera keluar.

"Saya dengar suara anak saudara menjerit beritahu ada api dari arah dapur dan suruh saya segera keluar.

Iklan

"Pada waktu itu, saya dengar bunyi letupan kuat dan keadaan di dalam bilik sudah gelap. Saya hanya sempat selamatkan telefon bimbit sebelum keluar untuk menyelamatkan diri," katanya.

Siti Nur Haziqah berkata, lebih memilukan kejadian berlaku ketika suaminya, Muhammad Alif Samsul Bahrin, 22, baharu sahaja kehilangan pekerjaan selepas syarikat tempatnya bekerja menghentikan operasi sejak beberapa minggu lalu.

"Selepas berkahwin saya dan suami tinggal di sini bersama mak dan ayah, tetapi tidak sangka rumah kami tumpang berteduh terbabit dalam kejadian kebakaran ini.

"Semasa kejadian, ibunya, Salamiah Hassan, 60, tiada di rumah kerana mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Gombak, manakala bapanya, Hashim Yaccob, 69, pula ke Pekan Tanjong Karang.

"Saya reda dengan kejadian ini dan bersyukur kerana kami semua selamat," katanya.

Sementara itu, nasib menimpa keluarga itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang menziarahi keluarga berkenaan pada Jumaat.

Noh (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga mangsa kebakaran pada Jumaat

Noh berkata, pihaknya telah menghulur bantuan segera kepada mangsa terbabit.

"Kita sedaya upaya membantu termasuk bantuan bina rumah terbengkalai yang terletak bersebelahan dengan rumah ini dengan peruntukan maksimum berjumlah RM50, 000," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.50 tengah hari.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dan Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiba di lokasi kejadian anggota kemudian diarahkan membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos setinggi 91 meter dengan dua pancutan.

"Kebakaran membabitkan rumah kediaman separuh kekal dengan kemusnahan 50 peratus," katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 5.15 petang dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini.

"Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran," katanya.