KOTA BHARU – Kegembiraan berganda. Itulah yang dapat digambarkan perasaan seorang ibu apabila empat anak kembarnya lulus cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis.
Rusmaizuati Mokhtar, 44, dari Kampung Permatang Pusu, Melor, memberitahu, beliau amat terkejut apabila empat anak kembarnya itu memperoleh keputusan yang hampir sama, sekali gus memberi kejutan kepadanya dan suami, Md Khairuddin Musa.
Anak kedua Rusmaizuati, Amir Mutaqim Md Khairuddin, Aniq Mutaqim Md Khairuddin, Abid Mutaqim Md Khairuddin dan Adib Mutaqim Md Khairuddin daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor di sini masing-masing mendapat 6A dan 7A dalam mata pelajaran yang dipilih.
Ibu kepada tujuh cahaya mata itu memberitahu, pada mulanya beliau agak risau jika salah seorang daripada empat beradik berkenaan gagal mendapat keputusan yang cemerlang.
"Saya risau, kalau salah seorang daripada mereka gagal atau sebagainya, biarlah mereka seiring, berjaya atau tidak, semuanya saya serahkan pada ALLAH SWT. Tawakal dan reda dengan ketentuan.
"Masa kami semua menunggu keputusan keempat-empat tersebut, Alhamdulillah, seorang demi seorang memaklumkan keputusan SPM masing-masing.
"Kejut sayo demo tu lulus belako. Tiada apa yang saya dapat katakan, ia anugerah ALLAH kepada kami semua,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, sejak bulan Januari lalu, keempat-empat anaknya itu berada di asrama supaya mereka boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, sekali gus mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar sebagaimana nasihat kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai keperibadian keempat-empat anaknya, Rusmaizuati berkata, walaupun ramai berpendapat ‘sukar’ untuk menjaga empat orang anak berbanding seorang, namun kepada Rusmaizuati, ia adalah sebaliknya.
Patuh perintah ALLAH, hormat orang tua dan dengar cakap antara tiga sikap utama yang ada dalam diri keempat-empat anak kembarnya itu menjadikan Rusmaizuati dan suami tidak begitu sukar mendidik mereka.
Menurut Rusmaizuati, setelah berkelana di Sarawak selama tiga tahun mereka kembali ke Kelantan.
Beliau mengakui, bantuan dan dorongan daripada guru-guru di sekolah merupakan kunci utama kejayaan anak-anaknya.
"Memang mereka selalu beritahu cikgu-cikgu di sekolah banyak bantu mereka. Lagipun mereka duduk di asrama. Saya hanya pergi sekali atau dua kali seminggu untuk hantar makanan di pagar utama. Itu pun kalau dibenarkan.
"Selebihnya adalah masa dia di asrama. Saya sentiasa pesan, jangan gunakan alasan duduk di asrama sebagai ‘lesen’ untuk bergerak bebas tanpa kawalan ibu bapa. Alhamdulilah, mereka patuh.
"Di rumah, keempat-empat mereka itu kerap bangun malam mendirikan solat sunat, solat dhuha, selain puasa sunat dan sebagainya. Di asrama pun sama,” katanya.
Keempat-empat kembar tersebut yang bercita-cita mahu menjadi warga pendidik seperti bapa mereka, Rusmaizuati memberitahu, beliau dan suami tidak pernah menghalang minat dan kecenderungan anak-anak mereka.