KOTA BHARU - Akibat motosikal rosak dan tidak mahu menangguhkan suntikan vaksin Covid-19, seorang warga emas sanggup berjalan kaki kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Pasir Hor, di sini untuk mendapatkan suntikan itu di Kompleks Balai Islam, Lundang, minggu lepas.
Ibu tunggal, Siti Meriam Sulong, 76, memberitahu, beliau tetap bersemangat walaupun terpaksa berjalan kaki hampir tiga jam untuk ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut pada Selasa lalu (1 Jun), selepas motosikal milik anaknya Suhaimi Husin, 42, rosak.
Menurut Siti Meriam, dia sepatutnya menerima suntikan dos pertama bulan lepas, namun terpaksa menolak janji temu itu disebabkan masalah pengangkutan.
"Pada hari janji temu yang baharu, motosikal anak saya sekali lagi rosak, namun saya tetap menggagahkan diri ke PPV dengan berjalan kaki kerana tidak mahu menangguhkannya lagi.
"Saya keluar rumah pada jam 10 pagi kerana janji temu saya sekitar 1.30 petang dan saya tiba di Kompleks Balai Islam Lundang pada jam 1 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pasir Hor, di sini pada Jumaat.
Ibu kepada empat orang anak yang berusia antara 42 hingga 50 itu berkata, sebaik tiba di Kompleks Balai Islam Lundang itu, beliau meminta kebenaran jururawat bertugas untuk berehat terlebih dahulu.
"Sebaik tiba, petugas memaklumkan sudah tiba giliran sebelum saya meminta izin berehat seketika, untuk menghilangkan rasa penat dan keletihan kerana berjalan jauh.
"Malah, petugas di PPV berkenaan juga telah membantu menempah Grab Car dan membayarnya untuk menghantar saya pulang ke rumah, selepas menerima suntikan,” katanya.
Kata Siti Meriam, dia tidak mahu menyusahkan dua anaknya yang tinggal bersama kerana mereka mempunyai masalah kesihatan, selain dua orang lagi menetap di luar Kelantan.
Bercerita lanjut, Siti Meriam menjelaskan, cucunya Roshanani Bakri, 29, yang menetap di Kuala Lumpur telah membantunya mendaftar sebagai penerima vaksin di aplikasi MySejahtera.
"Sehari sebelum janji temu itu, cucu saya menelefon memberitahu mengenai janji temu tersebut selain turut menyuruh saya ke PPV berkenaan untuk menerima suntikan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur sudah berjaya menerima suntikan vaksin dos pertama kerana golongan seperti saya adalah kelompok berisiko tinggi,” katanya yang akan menerima dos kedua pada 22 Jun nanti. -Bernama