Keluarga harap Cheng Hoe tidak terkesan pemergian bapa

Iklan
Cheng Hun (kiri) dan Cheng San di depan keranda mendiang bapa mereka ketika ditemui di Taman Pelangi, Alor Setar pada Jumaat.

AHLI keluarga Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap pengendali tersebut tidak terkesan dengan pemergian bapa mereka, Tan Chooi Siak.

Chooi Siak meninggal dunia pada usia 95 tahun kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat akibat sakit tua.

Iklan
Iklan

Abang sulungnya, Tan Cheng Hun, 62 berkata, beliau berharap anak keenam daripada lapan beradik itu akan terus kuat mengemudi Harimau Malaya bagi menghadapi pasukan Vietnam pada awal pagi Sabtu untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Menurutnya, mereka sekeluarga telah memaklumkan kematian itu kepada Cheng Hoe dan ketua jurulatih berkenaan dilihat tenang mendengar perkara tersebut.

Iklan

"Ketika kami hubunginya, beliau tenang menerima berita sedih ini. Cheng Hoe meminta keluarga menguruskan persemadian mendiang bapa kami dengan baik," katanya ketika ditemui media di rumahnya di Taman Pelangi, Alor Setar pada Jumaat.

Cheng Hun berkata, keadaan mendiang dilihat kurang bermaya dan nampak penat pada sebelah pagi sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta di Alor Setar.

Iklan

"Saya lihat keadaan bapa semakin lemah semasa mendapatkan rawatan di klinik swasta dan kami membawanya pulang kembali ke rumah.

"Semua adik-beradik kecuali Cheng Hoe berada di sisi bapa semasa dia meninggal dunia di rumah kira-kira jam 12 tengah hari dan upacara persemadian akan dilakukan pada Selasa ini," ujarnya.

Sementara itu, adik bongsu Cheng Hoe, Tan Cheng San, 48, berharap abangnya akan terus fokus untuk membantu pasukan bagi menghadapi misi penting pasukan bola sepak negara di pentas antarabangsa.

"Kami sekeluarga adalah penyokong kuat pasukan kebangsaan termasuk mendiang bapa. Setiap kali ada siaran langsung melibatkan pasukan kebangsaan kami tidak akan ketinggalan untuk menontonnya.

"Kami harap Cheng Hoe terus kuat semangat dan memberikan yang terbaik untuk pasukan negara," katanya.