PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memastikan 80 peratus daripada penduduk di Kuala Lumpur menerima vaksin Covid-19 menjelang penghujung Ogos ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu akan dapat dicapai menerusi Program Rintis Vaksinasi Bergerak MYmedic@Wilayah, salah satu daripada tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 untuk mencapai imuniti kelompok.
Iklan
Iklan
Menurutnya, program yang bermula sejak 7 Jun lalu itu akan diteruskan di empat lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur bermula Jumaat hingga 11 Jun.
"Program Rintis Vaksinasi Bergerak MYMedic@Wilayah kepada 7,200 orang di PPR Seri Gombak Setia, PA Desa Rejang, PA Sen Johor an Flat PKNS Sungai Baru.
"Keutamaan diberikan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang telah berdaftar menerusi aplikasi MySejatera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, sebanyak empat unit trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah digunakan dengan setiap satu trak diletakkan di setiap lokasi dengan kapasiti 1,800 dos vaksin.
Beliau berkata, program vaksinasi bergerak itu akan diperluaskan lagi ke PPR dan PA lain dengan harapan dapat meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin di Kuala Lumpur agar status imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.