Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam

Iklan
Syafiq (kanan) bersaing dengan pemain Vietnam pada aksi di Stadium Al Maktoum, Dubai sebentar tadi.

SKUAD Harimau Malaya sudah boleh melupakan hasrat melangkah lebih jauh selepas tewas 1-2 kepada Vietnam dalam aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi tadi.

Kekalahan kepada skuad Naga Emas itu menyaksikan Harimau Malaya gagal dalam misi untuk sekurang-kurangnya berada di tangga kedua Kumpulan G apabila kekal berada di tangga keempat Kumpulan G dengan sembilan mata.

Iklan
Iklan

Vietnam pula gah di tangga teratas dengan merekodkan 17 mata - berkelebihan dua mata meninggalkan pencabar terdekat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) manakala Thailand kekal menghuni tangga ketiga dengan sembilan mata.

Indonesia yang merupakan satu-satunya pasukan yang selesai mengharungi lapan perlawanan peringkat Kumpulan G terperosok di tangga tercorot apabila sekadar mengutip satu mata.

Iklan

Dalam pertemuan menentang Vietnam, Harimau Malaya bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan pengadil perlawanan dari Jepun, Ryji Sato.

Bagaimanapun, Vietnam terlebih dulu berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Nguyem Tien Linh pada minit ke-27 - hasil satu sepakan sudut.

Iklan

Pada penghujung babak pertama, Harimau Malaya berpeluang menyamakan kedudukan menerusi tandukan Syafiq Ahmad, namun percubaannya itu berjaya dinafikan penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Sebaik bersambung babak kedua, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat dua pertukaran - Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid masuk menggantikan Syafiq dan Safawi Rasid.

Bagi menambah sengat di barisan serangan, Cheng Hoe membawa masuk pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi bagi menggantikan Mohamadou Sumareh pada minit ke-61.

Ternyata kemasukan pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berjaya mengubah tempo permainan Harimau Malaya dalam melancarkan asakan ke kubu Vietnam.

Hasilnya, Harimau Malaya berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti Guilherme de Paula pada minit ke-73. Sepakan penalti itu berpunca selepas de Paula dikasari pertahanan Vietnam, Doan Van Han dalam kawasan penalti.

Cheng Hoe membuat pertukaran keempat apabila mengeluarkan pemain tengah, Syamer Kutty Abba dan memasukkan tonggak naturalisasi, Liridon Krasniqi pada minit ke-76 bagi memburu gol kedua.

Sebaliknya, Vietnam pula yang memperoleh gol kemenangan apabila kapten, Que Ngoc Hai menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-83.

Bagaimanapun, sepakan penalti itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan Harimau Malaya apabila pemain Vietnam, Nguyen Van Taon didakwa sengaja merebahkan badannya.

Sementara itu, UAE tidak menghadapi masalah meraih tiga mata berharga selepas membenam Indonesia 5-0 di Stadium Zabeel dalam satu lagi aksi Kumpulan G awal pagi tadi.

Malaysia bakal mengakhiri saingan Kumpulan G menentang Thailand di Stadium Al Maktoum pada 16 Jun ini. Pertembungan itu bakal menjadi penentu dalam misi Harimau Malaya memburu aksi playoff ke pusingan akhir Piala Asia 2023.