SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan perkembangan terkini mengenai pendakwah terkenal, Ebit Lew yang kini difahamkan masih berada di Gaza dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat negara terbabit.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, pihaknya akan memeriksa lanjut tarikh penerbangan pulang pendakwah itu ke tanah air.
"Kami sedang periksa (perkembangan Ebit),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada 25 Mei, Ebit Lew dilapor berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
Kamarudin dalam satu kenyataan pada 26 Mei lalu memaklumkan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.
Menurutnya, segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir.
Bagaimanapun, tindakan Ebit Lew tidak mengemas kini laman sosial miliknya sejak berlepas ke Mesir menimbulkan kerisauan buat masyarakat negara ini khusus pengikutnya.
Pada Khamis, penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memaklumkan bahawa Ebit Lew berada dalam keadaan baik setelah berjaya menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp.
Perkongsiannya melalui Instagram miliknya itu cukup melegakan selepas kecoh di media sosial apabila rata-rata rakyat Malaysia mula tertanya-tanya keselamatan Ebit Lew di Palestin.