KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memandangkan purata kadar jangkitan harian Covid-19 masih tidak berkurang di bawah 5,000 namun ia berharap akan ada langkah-langkah efektif untuk meningkatkan perniagaan.
"Meskipun adalah satu keperluan untuk melanjutkan PKP 3.0 bagi tempoh dua minggu lagi, kerajaan juga perlu memastikan langkah-langkah berkesan disediakan untuk menyokong majikan yang terkesan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro,” kata Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kerajaan melanjutkan PKP 3.0 sehingga 28 Jun.
Pada 11 Jun, Malaysia merekodkan 6,849 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 78,864 setakat ini.
Sementara itu Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), Datuk William Ng berkata, meskipun persatuan itu bersetuju PKP 3.0 perlu dilanjutkan memandangkan kadar jangkitan harian Covid-19 masih tinggi, namun ia merayu kerajaan untuk menimbang supaya sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan dengan kapasiti terhad.
Untuk rekod, katanya, Samenta tidak pernah meminta supaya PKP diperketatkan dan percaya PKP 3.0 dapat menurunkan kadar jangkitan jika diberi masa, tanpa perlunya semua aktiviti ekonomi dihentikan
"Dengan pengumuman perpanjangan PKP diperketat, kami berharap kerajaan dapat melanjutkan program subsidi upah hingga akhir tahun, membenarkan moratorium pinjaman bank secara automatik dan bebas faedah dan menangguhkan semua bayaran berkanun termasuk ansuran cukai pendapatan dari Mei hingga Disember 2021,” katanya. - Bernama