KUALA NERUS - Berat ujian seorang ibu apabila anak sulungnya disahkan menghidap kanser saraf atau neuroblastoma tahap empat, manakala bayinya yang baharu dilahirkan pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana jangkitan kuman pada paru-paru.
Roslinda Harun, 29, berkata, bayinya, Nik Rania Amira Nik Rashimie Bukhari yang baharu 22 hari dilahirkan kini telah lapan hari berada di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.
Menurutnya, bayinya itu terpaksa dirujuk ke hospital setelah mengalami batuk dan keadaannya lemah dengan mulut dan kuku berwarna kebiruan.
"Prosedur rawatan dalam tempoh pandemik ini ibu tidak dibenarkan tunggu di wad bersama anak. Jadi, anak saya kini di bawah jagaan hospital. Saya perlu menelefon setiap hari untuk bertanyakan perkembangannya.
"Bekalan susu pula akan ditinggalkan kepada pengawal keselamatan untuk diberikan kepada bayi. Setakat ini, saya dimaklumkan bayi saya stabil dan masih dirawat.
"Saya harapkan doa orang ramai supaya bayi saya kembali pulih dan dapat membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, Roslinda berkata, anak sulungnya, Nik Raisya Aulia, 3, kini telah selesai menjalani rawatan kemoterapi di HSNZ selepas disahkan mengalami kanser saraf tisu pada Disember tahun lalu.
"Raisya telah lapan kali menjalani kemoterapi dan rawatan terakhir diterima pada minggu lalu selepas rawatan pertama pada 22 Disember 2020. Selain itu, dia juga telah menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan dalam perut April lalu.
"Setakat ini, doktor minta supaya saya sentiasa memantau pemakanan bagi memastikan dia sentiasa mendapatkan makanan yang sihat," katanya.
Beliau turut menyedari tahap kesihatan Raisya mulai merosot dan mengalami bengkak pada bahagian leher pada pertengahan tahun lalu.
"Pada mulanya saya bawa Raisya ke hospital swasta dan dia diberikan antibiotik. Selepas tiga minggu, lehernya kembali membengkak dan demam. Ketika itu berat badannya mulai menyusut.
"Saya sekali lagi membawanya ke klinik swasta untuk diambil darah dan doktor memaklumkan keputusan ujian darahnya tidak begitu baik.
"Saya kemudiannya merujuk ke hospital kerajaan. Setelah beberapa ujian dilakukan Raisya disahkan mengalami kanser neuroblastoma tahap empat," katanya yang tinggal di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal di sini.
Roslinda yang turut mempunyai seorang lagi anak berusia dua tahun menaruh harapan agar ketiga-tiga anaknya dapat membesar dengan sihat dan sempurna.
Katanya, beliau dan suami, Nik Rashimie Bukhari Nik Mazlan tidak berhenti berikhtiar, malah suaminya juga tidak bekerja dan hanya melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung perbelanjaan.
"Ibu mana yang tidak mahukan anak membesar dengan sihat. Saya reda dengan apa yang dialami anak-anak saya dan tidak akan putus berdoa," katanya.
Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Roslinda di talian 019-3330896 atau 011-21916318 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Roslinda Harun (1110329000135919).