MELAKA - Polis Melaka selesai mengambil keterangan seorang exco kerajaan negeri yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, keterangan exco itu diambil kira-kira jam 1 tengah hari Khamis, di Seri Negeri.
"Polis sudah selesai mengambil keterangan beliau dan sekiranya masih ada keperluan kita akan memanggilnya semula.
"Dalam masa sama, beberapa saksi lain juga sudah dipanggil untuk membantu siasatan," katanya selepas mengesahkan laporan itu pada Sabtu.
Mengulas lanjut Mohd Sukri berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan polis membabitkan exco tersebut yang didakwa melanggar SOP ketika menganjurkan sebuah program pemberian ayam dan telur percuma di Taman Bukit Rambai Jaya pada Isnin lalu.
"Berdasarkan maklumat awal, program itu mendapat kebenaran penganjuran melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Polis juga sebelum ini telah memberi nasihat agar mereka mengikut SOP ditetapkan sepanjang PKP 3.0," katanya.
Baru-baru ini tular di laman sosial mengaitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka yang menganjurkan sebuah Program Kedai Prihatin Rakyat secara pandu lalu di Taman Rambai Jaya, didakwa melanggar SOP.
Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi selain ada pihak mempersoalkan bagaimana program rasmi boleh diadakan sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu.