JAS Pahang ambil tindakan terhadap kilang kertas

Iklan
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan keadaan air Sungai Pahang berubah warna hitam serta berbau busuk menyebabkan ribuan ikan yang diternak dalam sangkar di sungai terbabit mati. Gambar kecil: Mohd Sani

TEMERLOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang akan mengambil tindakan perundangan terhadap sebuah kilang kertas berikutan dipercayai menyebabkan pencemaran hingga menjejaskan sangkar ikan di Kampung Pengkalan Manggis pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Mohd Sani Mat Daud berkata, tindakan itu akan diambil berdasarkan bukti yang diperoleh pihaknya susulan hasil siasatan mendapati, pencemaran itu berlaku akibat pelepasan efluen dari kilang tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita mendapati ia satu insiden akibat kecuaian dan tindakan perundangan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas meninjau sangkar ikan milik Mohd Zahir Ibrahim, 37, di kawasan tersebut pada Sabtu.

Hadir sama Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Sampel air yang diambil sekali lagi di sangkar milik Mohd Zahir di Sungai Pahang dekat Kampung Pengkalan Manggis, di sini, Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Sani berkata, notis arahan dikeluarkan iaitu pihak kilang perlu patuh untuk memastikan tiada sebarang pelepasan efluen dilakukan dalam tempoh sita serta perlu mengambil langkah pembaikan.

Kilang yang beroperasi sejak 1996 itu kebetulan tidak beroperasi atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2 Jun hingga 14 Jun susulan terdapat kluster Covid-19.

Iklan

Pihak kilang terbabit mengakui membuat pelepasan efluen selama sejam dari kolam takungan terakhir pada petang 9 Jun secara tidak sengaja.

Mohd Sani(dua, Kanan) bersama Mohd Sharkar (kiri) ketika melakukan tinjauan di sangkar yang diusahakan Mohd Zahir di Sungai Pahang dekat Kampung Pengkalan Manggis di sini, Sabtu.

Dalam laporan Sinar Harian pada Sabtu, ribuan ikan sangkar yang diusahakan Mohd Zahir didakwa mati selepas insiden pelepasan efluen oleh kilang tersebut pada Rabu yamg menyebabkan warna air berubah hitam dan berbau busuk.

Sementara itu, Mohd Sharkar memberitahu, pihak kilang diminta membayar ganti rugi yang akan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan negeri untuk penaksiran kepada pengusaha terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Air Sungai Pahang seperti minyak hitam'