IPOH - Bagi sepasang pemuda kembar Orang Kurang Upaya (OKU) sindrom down, Lam Wai Kin dan Lam Wai Yip, giliran menerima vaksin dos pertama di Sekolah Semangat Maju Ipoh semalam merupakan hari sangat istimewa bagi mereka.
Seawal pagi lagi, dua beradik berusia 39 tahun itu sudah bersiap mengenakan pakaian yang sama, bersarapan dan kemudiannya menanti kakak mereka, Jennifer Lam, 46, untuk menghantar mereka ke sekolah tersebut, kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya di Bercham di sini.
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas dibuka khusus bagi warga OKU di sekolah tersebut dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan vaksin bermula Jumaat.
Sebaik memasuki pagar sekolah, kesemua OKU termasuk Wai Kin dan Wai Yip akan melalui proses imbasan suhu sebelum dibawa ke bilik khas untuk menerima suntikan vaksin berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Ketika menunggu proses suntikan, kesemua OKU berkenaan akan duduk menanti giliran di dalam bilik tersebut kira-kira 10 minit sebelum dipanggil ke meja khas untuk mendapatkan vaksin jenis Pfizer sambil ditemani penjaga atau guru sekolah bagi menghilangkan rasa takut atau gementar.
Usai disuntik, Wai Kin dan Wai Yip, yang bekerja di sebuah kilang di bawah persatuan sekolah tersebut, begitu gembira dan lega malahan tidak sabar untuk mendapatkan dos kedua tidak lama lagi.
"Tidak sakit, saya kuat. Gembira sebab dapat cucuk, boleh pergi kilang. Saya mahu disuntik untuk kali kedua nanti," kata Wai Yip kepada Bernama dan kedua-duanya sempat bergambar sambil memegang plakad ‘Saya Sudah Divaksin’ sebelum pulang ke rumah.
Jennifer pula berkata kedua-dua adiknya itu langsung tidak menunjukkan perasaan gementar dan mahu segera selesai proses vaksinasi supaya boleh terus bekerja selain tidak berasa takut apabila keluar bersama ahli keluarga mereka.
Dalam pada itu, seorang pekerja Bengkel Perlindungan Semangat Maju yang menghidap autisme, Megat Norizad Rosli, 20, berkata beliau rasa gementar dan takut untuk mendapatkan suntikan vaksin tetapi masih memberanikan diri bagi memenuhi tanggungjawab tersebut.
"Tidak tahu nak cakap, gementar juga, takut pun ada tapi kena ambil vaksin sebab ia penting. Saya bersyukur juga dapat vaksin sebab takut dengan virus sekarang," katanya semasa menunggu giliran sebelum diberi suntikan vaksin dos pertama Pfizer bersama rakan-rakannya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Semangat Maju Noor Ahisiah Che Enbi, 54, berkata pihaknya dan JKM berganding bahu mendaftarkan kesemua warga istimewa sekolah terbabit untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi pelajar daripada penularan wabak COVID-19.
"Pihak sekolah bersama JKM menyalurkan maklumat mereka yang berusia 18 tahun ke atas untuk pendaftaran semua warga sekolah di sini. Sebelum cuti sekolah (sebelum raya) kami sudah daftarkan senarai penerima vaksin dan kami dapatkan persetujuan daripada ibu bapa.
"Keseluruhan pelajar yang mendapat suntikan adalah seramai 139 orang tetapi hanya 105 orang sahaja yang mendapatkan suntikan vaksin hari ini. Selebihnya seramai 34 orang pula tidak menerima suntikan kerana mempunyai masalah kesihatan," katanya.
Beliau turut berasa puas hati kerana semua proses berjalan lancar dan menyatakan bahawa keperluan vaksin pada masa ini amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Sekolah tersebut adalah yang terawal di daerah Kinta dijadikan PPV khas untuk Program Outreach bagi warga OKU mendapatkan vaksin dan akan ada lagi sekolah menerima status yang sama kelak.
Inisiatif itu bagi memudahkan proses vaksinasi agar lebih ramai lagi kelompok masyarakat mendapat vaksin sekali gus dapat memerangi penularan pandemik Covid-19. - Bernama