DVS negeri, Maqis aktif aktiviti survelan pantau penularan LSD

Iklan
Ronald (depan) memberikan makanan kepada ternakan lembu semasa lawatan ke PPK Bernam Jaya, Sabak Bernam pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan aktiviti survelan berikutan penyakit kulit kental berbonjol (LSD) yang menjangkiti lembu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, DVS akan terus mengaktifkan program survelan di lapangan menerusi pemeriksaan fizikal di semua ladang dan kandang ternakan di seluruh negara bagi mengesan ternakan terjangkit.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan pengawalan dan pencegahan LSD adalah melalui prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Penyakit Berjangkit dan SOP Pengurusan Ternakan di Lapangan.

"Langkah ini bertujuan bagi mengesan sekiranya terdapat ternakan yang menunjukkan tanda-tanda klinikal LSD," katanya pada Lawatan Kerja ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya, di sini pada Sabtu.

Iklan

Ronald berkata, bagi mencegah risiko kemasukan virus LSD menerusi pengimportan ternakan hidup, MAFI melalui DVS juga telah menggantung pengimportan ternakan lembu dan kerbau bagi tujuan pembiakan dan penyembelihan dari negara terjangkit seperti Thailand berkuat kuasa pada 7 Jun lalu.

Ronald (kanan) meninjau projek ternakan lembu fidlot di Unit Peladang Kampung Tebuk Jawa, PPK Bernam Jaya di Sabak Bernama pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ronald juga mengingatkan penternak untuk mempertingkatkan amalan perladangan yang baik dari aspek biosekuriti, kebersihan ladang, kawalan makhluk perosak, sumber air bersih dan sumber makanan daripada pengilang yang mempunyai pensijilan Good Manufacturing Practices (GMP).

Iklan

Ronald menjelaskan, aspek kawalan, pencegahan, dan pembasmian yang cekap dan bertanggungjawab oleh semua pihak berkepentingan adalah sangat penting bagi memastikan penularan LSD di negara ini dapat dibendung bagi memastikan pengeluaran ruminan tidak terjejas.

"Ini juga penting memandangkan Tahap Sara Diri (SSL) daging lembu masih berada pada sekitar 22.3 peratus dan negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan," katanya.

Mengulas mengenai lawatan kerja ke PPK Bernam Jaya, Ronald berkata, lawatan itu bertujuan antara lain untuk meninjau kelangsungan rantaian bekalan makanan di lapangan ketika tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ronald (tiga dari kanan) meninjau projek tanaman fertigasi tembikai 'rock melon' di PPK Bernam Jaya, Sabak Bernam pada Sabtu.

Selain itu, katanya, lawatan itu juga bertujuan bagi melihat aktiviti sektor ruminan di peringkat ladang susulan penularan LSD yang dilaporkan menjangkiti ternakan lembu dan kerbau.

"Di PPK Bernam Jaya, saya meninjau industri penternakan menerusi projek ternakan lembu fidlot yang diusahakan oleh seorang usahawan, Mohamad Rasfanjani Mashugi di Unit Peladang Kampung Tebuk Jawa, di bawah PPK Bernam Jaya yang berjumlah 250 ekor lembu," kata Ronald.

Katanya, projek yang bermula pada tahun 2020 itu dilaksanakan secara usaha sama antara Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS), PPK Bernam Jaya dan usahawan terbabit.

"Pemasaran lembu dilaksanakan oleh PPK Bernam Jaya berjalan lancar setakat ini bagi memenuhi keperluan daging segar di pasaran dan juga untuk keperluan Hari Raya Aidiladha bagi aktiviti korban dan akikah," katanya.

Dalam lawatan yang sama, Ronald berkata, beliau turut meninjau projek tanaman fertigasi tembikai wangi (rock melon) yang diusahakan oleh seorang usahawan, Hafiz Azuddin Ariffin di Unit Peladang Tebuk Jawa di bawah PPK Bernam Jaya.

Ronald (depan) bergambar bersama pegawai yang turut hadir pada lawatan ke tanaman fertigasi tembikai 'rock melon' di PPK Bernam Jaya, Sabak Bernam pada Sabtu.

"Projek ini berkeluasan 2.5 ekar (satu hektar) dengan berkapasiti 13,000 polibeg yang telah dimulakan pada tahun 2017 dan hasil tanaman telah dipasarkan melalui PPK Bernam Jaya," ujarnya.

Selain itu, Ronald berkata, MAFI mengambil pelbagai pendekatan dan langkah untuk memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan sepanjang masa termasuk memastikan kelancaran operasi pengeluaran dan pemasaran di semua PPK di seluruh negara beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelas beliau, MAFI juga mengusahakan pelbagai insentif pengeluaran kepada golongan sasar untuk meneruskan aktiviti masing-masing dan mengekalkan bekalan makanan.

"Sehingga Khamis, MAFI melalui jabatan dan agensi di bawahnya secara keseluruhan telah mengeluarkan sebanyak 88,034 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal (informal) termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada petani, penternak, nelayan, pengusaha kecil B40 serta pengusaha mikro asas tani.

"Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan PKP, Lembaga Pertubuhan Peladang telah membuka Bilik Gerakan Crisis Management Centre (CMC) yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang," jelas Ronald.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh hubungi talian Hotline LPP di 03-2610 9614/ 03-2610 9605 atau emel ke info@lpp.gov.my.