PEMAIN Denmark, Christian Eriksen dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Copenhagen.
Sebelum itu, Kesatuan Bola Sepak Denmark menerusi satu ciapan di Twitter memaklumkan pemain Inter Milan itu sudah sedar dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut.
"Ia satu detik yang cukup traumatik dan pasti akan diingati. Semuanya tentang hubungan dalam pasukan ini. Ia mengenai seseorang yang cukup rapat dengan kami.
"Christian merupakan salah seorang pemain terbaik dan dia juga seorang individu yang baik. Kami semua masih bersedih dengan apa yang telah berlaku," kata pengendali Denmark, Kasper Hjulmand.
Dalam aksi Euro 2020 menentang Finland di Stadium Parken awal pagi tadi, Eriksen rebah pada penghujung perlawanan babak pertama sehingga terpaksa menerima resusitasi kardiopulmonari (CPR) di tepi padang.
Situasi itu menyebabkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada awalnya membuat keputusan untuk menagguhkan aksi Kumpulan B tersebut.
Namun, UEFA memutuskan untuk menyambung semula perlawanan itu daripada lima minit terakhir babak pertama selepas tertangguh hampir dua jam.
Joel Pohjanpalo memastikan Denmark terus 'merana' apabila meledak gol kemenangan Finland yang juga gol tunggal perlawanan pada minit ke-59.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemain Denmark, Christian Eriksen rebah ketika perlawanan menentang Finland