Pelarian Rohingya sudah jadi bisnes

Iklan
Mohd Zubil

[MUKADIMAH] Biarpun kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), etnik asal Myanmar ini tetap memilih untuk menjejakkan kaki di Malaysia.

Mereka sanggup menyabung nyawa di lautan dan rela diperdagangkan dengan membayar hampir RM10,000 semata-mata untuk hidup selesa di negara ini berbanding terus sengsara di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.

Terbaharu pada 4 Jun lalu, seramai 81 orang pelarian Rohingya dikesan mendarat di Aceh Timur, Indonesia, yang memaksa Malaysia menerusi National Task Force (NTF) memperketat kawalan sempadan kerana sudah pasti destinasi akhir pelarian itu adalah negara ini.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Ahad, Nurul Riduan Nor Ashaha dan Liza Mokhtar bersama Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som di Putrajaya baru-baru ini, yang antara lain menyentuh kenapa Malaysia menjadi ‘negara impian’ etnik Rohingya.

Iklan
Iklan

SINAR AHAD: Boleh Datuk jelaskan di mana lokasi di sempadan perairan Malaysia-Thailand yang menjadi laluan masuk sindiket penyeludupan Rohingya?

MOHD ZUBIL: Kalau kita lihat di sebelah utara Malaysia khususnya di utara Langkawi, ada banyak pulau yang dimiliki oleh Thailand.

Iklan

Kalau dulu mereka akan terus masuk dengan menggunakan kapal besar yang bawa lebih 200 penumpang. Tetapi selepas kita buat operasi udara, modus operandi seperti ini diubah. Jadi kemungkinan pulau-pulau di Thailand ini dijadikan tempat perlindungan untuk mereka mengatur semula pergerakan dan membuat pemindahan penumpang ke bot-bot kecil sama ada bot persiaran, bot laju atau bot nelayan sekiranya ada.

Mereka masuk dalam kumpulan yang kecil, satu atau dua orang. Mungkin pihak berkuasa Thailand tidak sedar atau mereka tahu sebenarnya. Tentera laut Thailand ada tetapi kemungkinan mereka melihat bot itu bukan satu ancaman. Mereka tahu destinasi bot-bot ini bukannya Thailand tetapi destinasi terakhir mereka sudah semestinya Malaysia.Ada laporan mengatakan mereka turun di Aceh.

Kalau kita lihat, dua tiga bulan sebelum ini, kem di Aceh itu sudah kosong. Mereka lari. Ke mana mereka lari? Selepas beberapa hari Maritim Malaysia dapat menahan empat individu. Mereka dari Aceh, turun ke bawah seperti Medan dan seterusnya menggunakan bot laju untuk masuk ke Malaysia. Sebabnya, mungkin mereka melihat Malaysia adalah satu tempat yang senang. Ekonomi bagus, senang kerja, saudara-mara ramai.

Bagaimanakah senario sindiket penyeludupan Rohingya pada musim pandemik Covid-19 ini?

Iklan

Pada penghujung tahun 2019 dan awal 2020, Maritim Malaysia adalah agensi pertama yang membanteras sindiket di darat. Kita buat operasi khas yang dipanggil Ops Dalal. Kita dapat tangkap perancang yang patut menerima bayaran. Kita dapat tumpaskan.Modus operandi sindiket ini cukup senang.

Mereka (Rohingya) yang berada di Malaysia iaitu waris-waris, mereka pergi kepada ejen dan mereka beri nama siapa yang mereka mahu untuk dibawa masuk ke Malaysia. Ejen akan uruskan semuanya.

Mereka yang kita siasat ini, mereka duduk di Cox’s Bazar dan mereka sudah ada kad UNHCR yang dikeluarkan di Cox’s Bazar.

Di sana nanti, individu yang sudah dikenal pasti pihak sindiket, akan membuat runding untuk membawa mereka masuk ke Malaysia. Ejen akan uruskan semuanya termasuk soal pembayaran. Itu adalah sebahagian mereka yang mempunyai waris di negara kita.

Sebahagian lagi kemungkinan tiada saudara-mara tetapi dia dijanjikan di Cox’s Bazar lagi. Ada ejen di sana yang uruskan kemasukan ke Malaysia. Mereka perlu bayar pendahuluan di sana dan apabila sampai di sini, perlu bayar bakinya melalui ejen juga.

Mereka datang ke sini tidak bawa duit. Kita sudah buat tangkapan dan tidak jumpa sebarang wang tunai. Transaksi berlaku melalui ejen di sini dan di Cox’s Bazar.

Bagaimana pula dengan bayaran yang dibuat oleh warga Rohingya kepada sindiket?

Saya difahamkan, untuk permulaan pembayaran adalah sekitar RM3,000. Apabila sampai di Malaysia, mereka perlu bayar sekitar RM5,000 lagi. Bayaran ini tidak tetap. Tengok keadaan ketika itu. Jumlahnya saya boleh katakan adalah hampir RM10,000 untuk sampai ke Malaysia.

Pelarian Rohingya ketika ini lebih gemar menggunakan laluan laut berbanding darat. Adakah ini taktik mereka untuk meraih perhatian antarabangsa sekiranya Malaysia mengambil langkah usir?

Itu agak sukar saya nak jawab, tetapi apa yang saya lihat kalau mereka melalui jalan darat, mereka perlu berdepan dengan banyak lokasi pemeriksaan di Thailand mahupun Malaysia. Kalau di laut, laluannya terus.

Apa yang saya hairan, risiko yang mereka ambil menggunakan perjalanan laut adalah lebih berbahaya sebab mereka ini ramai, tetapi menggunakan bot kecil dan dipenuhi barang. Persoalannya bagaimana dengan makanan serta minuman? Kalau di darat lebih senang tetapi kemungkinan kawalan di darat itu ketat. Sebab itu mereka beralih ke laut.

Apabila kita buat Ops Benteng, kita memperketat kawalan laut. Mereka sudah hilang arah dan tidak tahu sama ada mahu menggunakan jalan laut atau jalan darat. Sebab itu kalau kita lihat, laporan terakhir Maritim Malaysia, apabila mereka ditahan oleh tentera laut India, mereka terapung di tengah laut dengan enjin rosak. Mati pun ramai. Makanan pun tiada. Bot terapung dalam tempoh yang lama.

Kita lihat cabaran untuk mulakan pergerakan di laut ini sungguh lama. Pertamanya ejen akan kumpulkan kumpulan kecil terlebih dahulu. Kemudiannya menaiki bot kecil dan dipindahkan ke bot besar. Proses itu memakan masa yang lama sehinggalah bot itu padat dengan penumpang.

Di tengah laut pula berlaku penghantaran bekalan makanan dan minyak. Ada kapal-kapal lain dikesan membantu pergerakan mereka. Sebab itu ada kapal yang terapung lama untuk tunggu barang makanan dan minyak. Kalau tiada pembayaran wang, Rohingya ini perlu tunggu di laut. Apabila bayaran dibuat, bekalan akan dihantar. Perjalanan ini akan ada banyak pembekal yang menghantar barangan keperluan. Sebab itu perjalanan itu mengambil masa yang panjang.

Kalau perjalanan itu secara terus sahaja, rasa saya tiga atau empat hari, mereka sudah sampai tetapi kadang-kadang mengambil masa sehingga tiga bulan. Berlabuh di sini, berlabuh di sana.

Berdasarkan operasi terakhir yang kita tangkap, bot itu kecil tetapi dipenuhi lebih 200 orang. Mereka dapat duduk berlunjur sahaja. Mereka tidak boleh berdiri, tidak boleh berjalan.

Sebab itu apabila ditangkap dan kita suruh mereka berjalan, mereka tidak boleh berjalan. Apabila mereka cuba berjalan, mereka terjatuh. Maknanya tempoh mereka duduk itu terlampau lama.

Mereka tidak boleh bergerak tambahan pula ada orang kawal di atas bot. Makan mungkin campak-campak sahaja. Bila kita tahan, kita dapat lihat mereka kehabisan zat, nutrisi, kekurangan air, tidak boleh berjalan dan kena papah. Saya pun hairan mengapa mereka gemar menggunakan jalan laut berbanding jalan darat.

Mereka di sini ada ejen dan di Cox’s Bazar juga ada ejen. Daripada siasatan pihak berkuasa, berapa banyak ejen atau sindiket yang berjaya diberkas oleh Maritim Malaysia?

Bukan Maritim Malaysia sahaja yang menangkap ejen atau pihak yang mengatur semua perjalanan masuk PATI ini ke Malaysia. Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga melaksanakan perkara yang sama. Cuma saya tidak boleh mengesahkan berapa yang telah mereka tangkap.

Apabila kita melihat situasi pergerakan PATI ketika ini, satu faktor utama adalah disebabkan cuaca. Kita masih menunggu dan lihat pergerakan seterusnya. Kita akan lihat ketika mana cuaca berubah dari timur laut ke barat daya, sama ada masih berlaku pergerakan bot-bot pendatang asing ke perairan negara.

Katakanlah tidak ada, maknanya tangkapan ejen-ejen yang telah kita buat adalah efektif sekali gus berjaya menghalang mereka ke sini.

Jika keadaan laut reda, kemungkinan itu adalah masa yang sesuai untuk mereka bergerak. Tapi bagi pihak Maritim Malaysia, kita mengharapkan ia tidak akan berlaku. Diharap operasi menangkap ejen itu berjaya menyelesaikan kes kemasukan PATI ke negara ini.

Berapa banyak keuntungan yang dapat diraih oleh ejen atau sindiket yang menyeludup masuk warga Rohingya?

Saya tidak pasti berapa banyak mereka boleh buat duit daripada aktiviti haram ini. Tetapi cuba bayangkan, kalau satu orang ejen boleh bawa dalam satu perjalanan melibatkan RM8,000 hingga RM10,000 orang secara purata, bayangkan kalau dia ‘makan’ RM200 untuk satu orang, berapa banyak yang dia boleh dapat?

Tahun lalu sahaja, ada dua kes iaitu satu daripadanya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan satu lagi pada 5 April 2020 di mana seramai 202 orang etnik Rohingya ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi.

Semasa kita siasat, kita ingat kes ini melibatkan isu PATI sahaja tetapi apabila ia semakin meningkat, kita lihat ada unsur-unsur lain dalam isu ini.

Mengapa ia begitu menjadi tarikan? Apabila kita tahan, dia tetap masuk. Kita tahan lagi, dia masuk lagi. Rupa-rupanya ada sindiket pengaturan ejen yang mengaturkan semua kemasukan PATI ini.

Ia melibatkan pembayaran dan nama-nama orang yang ejen perlu bawa masuk. Kebanyakan nama yang hendak dibawa masuk itu adalah saudara-saudara terdekat mereka. Mereka yang berada di sini mahu ejen mencari saudara-saudara mereka untuk dibawa ke sini.

Sebagai contoh, PATI yang sudah berada di sini mahukan adiknya yang berada di negara asal dibawa ke Malaysia. Maka ejen yang berada di negara asal pun carilah nama yang telah diberikan kepada mereka. Ejen ini akan cari nama-nama tersebut kerana PATI yang telah berada di negara ini sanggup bayar sekiranya saudara-saudara mereka itu berjaya dibawa ke sini.

Mereka yang berada di negara asal mana ada duit. Hendak bayar kepada ejen untuk ke Malaysia pun tidak ada duit. Maka yang membuat pembayaran adalah PATI yang telah berada di negara ini.

Selain itu, ada juga PATI di sini yang hendak berkahwin dan memberikan gambar kepada ejen untuk mencari pasangannya. PATI yang telah berada di sini mahu berkahwin dengan suku-suku mereka sahaja. Apabila jumpa, ejen akan bawa kumpulan tersebut ke Malaysia.

Dalam tangkapan terakhir, terdapat sejumlah 15 anak dara berusia 17 dan 18 tahun. Apabila kita bertanya ada saudara di sini atau tidak, mereka kata tidak ada.

Rupa-rupanya mereka sudah ada calon atau pasangan yang hendak dikahwinkan di sini. Mungkin calon ini sudah lama di Malaysia dan ada sedikit duit, ada tempat tinggal serta sudah ada pekerjaan, maka dia sudah memikirkan untuk melangsungkan perkahwinan.

Tetapi calon itu masih dari negara asal mereka.Sebagai langkah kesedaran, kita juga buat satu usaha bersama Pasukan Sempadan Australia (ABF) untuk melihat kes-kes penyeludupan PATI. Kami sudah berbincang dan usaha sama ini dilihat sebagai komunikasi strategik.

Komunikasi strategik itu adalah apa yang kami hendak uar-uarkan kepada orang yang terlibat tentang pemerdagangan manusia. Salah satu cara adalah memasang bunting di kawasan lapangan terbang untuk kesedaran semua. Kita mahukan penyelesaian ke akar umbi dan dalam masa yang sama, Australia akan cuba sampaikan mesej di sana.

Antara pelarian dan pemerdagangan manusia ke Malaysia, apakah definisi sebenar untuk etnik Rohingya ini? Adakah mereka di bawah gelaran pelarian atau seperti PATI juga?

Nak kata pelarian pun agak sukar kerana kita ada dua isu di sini. Pertama, penyeludupan individu, di mana ejen menguruskan orang ke sesebuah negara namun kemudian dia dieksploitasikan. Contohnya, mereka dijanjikan pekerjaan di sini namun diletakkan di rumah pelacuran.

Kedua, penyeludupan migran, iaitu mereka membayar tambang dari negara A ke negara B dan tidak dijanjikan apa apa. Oleh itu, mereka juga dianggap dan dilayan sebagai PATI yang memasuki laluan yang tidak sah dan diwartakan.

Antara kemanusiaan dan tanggungjawab, bagaimana Maritim Malaysia mengasingkan sifat simpati dengan tanggungjawab menjaga perairan negara?

Bagi saya, inilah peranan Maritim Malaysia. Kalau kita hendak harap Maritim buat dan agensi-agensi lain melaksanakannya, aspek kemanusiaan tetap diutamakan. Semasa melaksanakan tugas dan pengarahan, kita kena seimbangkan.

Maksudnya, pelaksana tugas pun manusia dan bukannya robot. Maka kita akan tengok keadaan PATI itu macam mana. Kalau kita buat tangkapan di laut dalam keadaan yang ramai, jika kita perlu bagi bantuan minuman dan makanan, kita akan bagi. Apa yang kita ada, kita akan bagi kepada mereka.

Namun sekiranya keadaan mendesak, kita akan merujuk kepada pihak atasan sama ada kita hendak bawa mereka masuk atau teruskan mengusir. Makanya kita masih diberikan ruang pada situasi itu setelah kita melakukan justifikasi.

Sebab apa yang saya lihat, kita berada di lapangan. Kita yang berurusan dengan mereka. Dan satu peringkat yang mana mereka berada di darat, mereka tidak boleh gambarkan keadaan dan situasi yang kita hadapi di laut.

Kita tengok macam mana. Kita boleh telefon untuk kita menyatakan keadaan kumpulan PATI itu bagaimana. Keadaan macam ini, keadaan macam itu.

Jadi orang yang di darat pun terima maklumat yang diberikan. Tetapi kita yang di lapangan ini nampak sendiri bagaimana situasi itu berlaku. Keadaan itu tidak boleh digambarkan dengan hanya melalui telefon kecuali kita pernah melaluinya.

Macam saya, walaupun saya berada di darat tetapi saya pernah melalui situasi tersebut. Tiga bulan, empat bulan, tetapi arahan yang diberi itu kita kena akur. Oleh sebab itu apabila orang bertanya, mengapa bagi air? Mengapa bagi makanan kepada PATI? Adakah tindakan ini salah? Bagi saya, tiada masalah. Kita bagi apa yang kita mampu untuk bantu mereka teruskan hidup. Kita buat semua ini sebab atas dasar kemanusiaan.

Tetapi apabila semuanya sudah selesai, kita usirlah mereka. Kita ada undang-undang, maka kita kena akurlah dengan undang-undang sedia ada.

Pendatang bocorkan kapal bila nampak Maritim Malaysia

PROSEDUR Maritim Malaysia ketika menahan bot yang dipenuhi warga Rohingya ketika pandemik Covid-19 ini, pertamanya kita dibenarkan memberi bekalan air, biskut dan kemudiannya usir. Bagaimanapun, mereka ini apabila nampak sahaja kita, mereka akan buat perkara yang di luar jangka.

Contohnya, mereka cuba bocorkan kapal. Sebabnya mereka tahu sifat kemanusiaan Maritim Malaysia.

Kami ialah sebuah agensi yang bukan penguatkuasaan tetapi mencari dan menyelamat.

Apabila mereka nampak kita sahaja, ada yang terjun ke laut sebab mahu kami selamatkan. Ada juga yang berenang.

Jadi semasa tempoh Covid-19 ini, kita lebih berhati-hati. Kalau kita nampak di laut, kita akan bagi air dan makanan. Arahan buat masa ini adalah usir. Kalau usir dan mereka pergi, tiada masalah. Itu yang berlaku mereka mendarat di Aceh.

Mereka nak masuk Malaysia tetapi apabila melihat banyak kapal membuat kawalan, banyak kapal terbang di udara, mereka ubah haluan untuk sementara dan singgah di Aceh.

Ini bukan sahaja dilaksanakan kepada bot-bot PATI, malah ia juga dilaksanakan kepada kapal-kapal dagang yang kita tahan dan PATI yang menyeludup.

Bila laksana, kita akan ikut semua prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Yang pertamanya, kalau ada permintaan untuk kita buat pemeriksaan kesihatan, kita akan buat.

Katakanlah kapal dagang itu ada orang sakit, ada yang mati, cedera dan sebagainya, kita akan pakai pakaian perlindungan diri (PPE) untuk bawa mangsa ke kapal.

Semua yang kita lakukan ini adalah bertujuan mengekalkan pematuhan terhadap langkah-langkah dan SOP ditetapkan.

Kalau kita tangkap PATI pun, perkara yang sama juga kita lakukan. Sebaik sahaja kita daratkan mereka, kita akan terus asingkan PATI ini.

Kita cuba untuk tidak mengambil risiko kepada anggota atau anak kapal.

Sehingga kini, belum ada anggota Maritim Malaysia yang dijangkiti Covid-19 semasa dalam proses membuat tangkapan.