KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan tanah seluas 8.1 hektar di pinggir Tasik Chini, Pekan yang dijadikan makmal alami (living laboratory) bagi menjalankan penyelidikan dan pembelajaran.
Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini menerusi satu kenyataan menjelaskan, kewujudan makmal alami itu membantu kerajaan negeri dalam usaha-usaha pemuliharaan, pemeliharaan serta kelestarian tasik tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri Pahang bersama Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang ditubuhkan di bawah naungan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004 sentiasa konsisten dalam memulihara dan memelihara kelestarian alam sekitar di Tasik Chini.
"Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah Program ‘Man and Biosphere Unesco’ telah diiktiraf pada Mei 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia berlandaskan tiga teras utama iaitu pemuliharaan daripada aspek ekosistem, landskap, spesies dan kepelbagaian genetik; sokongan logistik termasuklah aktiviti penyelidikan, pemonitoran dan pembelajaran; serta pembangunan yang merujuk kepada pembangunan ekonomi setempat dan pembangunan modal insan.
"Jadi, bagi menyokong dan menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan yang merupakan kawasan-kawasan yang mempunyai fungsi-fungsi yang berbeza," kata kenyataan tersebut pada Ahad.
Menurut kenyataan tersebut, penubuhan PPTC adalah khusus untuk menjalankan penyelidikan, pengajaran, kerja lapangan, kesedaran alam sekitar dan penyebaran maklumat pengurusan tasik secara bersepadu.
Katanya, hubungan antara kerajaan negeri Pahang dan UKM dengan penubuhan PPTC sejajar keperluan pelaksanaan dasar-dasar yang terkandung di bawah Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 dan Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini 2018 ke arah pembangunan mampan dan pemuliharaan Tasik Chini sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
"UKM melalui PPTC memberi komitmen tinggi kepada kerajaan Pahang dalam bentuk penyediaan kepakaran dan kewangan demi usaha pemuliharaan melalui penyediaan Pelan Pelaksanaan Strategik bersama-sama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang digunakan dalam Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini.
"Selain itu, pembinaan stesen ‘real-time monitoring’ ke atas kualiti air di sungai-sungai pembekal di Tasik Chini dapat membantu dalam aspek pemantauan kualiti air dengan lebih berkesan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, beberapa projek pemuliharaan yang dijalankan bersama-sama agensi kerajaan lain seperti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM).
Ujarnya, antara projek pemuliharaan itu termasuklah aktiviti penanaman semula hutan, pembinaan nurseri ikan serta pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini, pemuliharaan teratai serta latihan dan kesedaran alam sekitar kepada komuniti tempatan.
"Penyelidikan translasi juga dilaksanakan dengan menyumbang semula hasil dapatan penyelidikan dalam bentuk program kesedaran, modul pembelajaran dan latihan kepada masyarakat tempatan.
"Ia untuk membantu membangunkan status sosioekonomi dan taraf pendidikan mereka khususnya masyarakat orang asli yang mendiami sekitar Tasik Chini di Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput.
"Usaha-usaha ini telah berjaya mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kebudayaan di sebahagian besar kawasan Tasik Chini, malah akan diteruskan bagi memastikan keseluruhan kawasan Tasik Chini terus dipulihara dan terpelihara alam sekitarnya,” menurut kenyataan itu.