KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan 'menghabiskan' baki peruntukkan berjumlah RM4.5 juta bagi membantu meringankan beban golongan asnaf yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di negeri ini.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan itu merangkumi golongan asnaf yang terdiri daripada armalah (ibu tunggal) dan anak yatim yang belum menerimanya pada agihan siri pertama lalu.
"Agihan ini menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan bermula Julai nanti," katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sementara Bagi Daerah Kota Bharu dan Kubang Kerian di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Menurutnya, beberapa program lain seperti Bantuan Cakna Hawa, Bantuan Cakna Suri siri kedua dan Jejak Amal Covid-19 Komuniti yang memberi fokus kepada ketua keluarga yang terjejas pendapatan harian.
Katanya, agihan itu adalah dalam bentuk barangan makanan asas.
ADUN Demit itu berkata, bagi mereka yang tercicir untuk mendapatkan bantuan sebelum ini, pihaknya meminta golongan berkenaan agar memaklumkan perkara itu kepada penghulu di kawasan masing-masing.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu kata Mumtaz, rakyat Kelantan dilihat lebih bersedia untuk menghadapi sekatan pergerakan penuh berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.
Ujar beliau, kebanyakan mereka yang terjejas dan meminta bantuan juga merupakan adalah kelompok yang sebelum ini bekerja di luar Kelantan, namun terpaksa balik ke kampung sebaik diberhentikan dan hilang pekerjaan ketika Covid-19.
"Apabila mereka datang mendapatkan bantuan, kebanyakannya adalah golongan yang bekerja di luar negeri ini yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung," katanya.