KOTA KINABALU - Jawatankuasa Pemantauan Dasar Korporat dan Tadbir Urus kerajaan negeri Sabah dirombak bagi mengukuh serta meningkatkan bidang pengurusan korporat semua Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor berkata, jawatankuasa itu akan dikawal selia oleh Kementerian Kewangan termasuk semua aspek pengurusan korporat, kemungkinan salah laku, pemantauan dan sebarang sekatan gaji serta elaun kepada semua pengurusan penting BBN dan GLC.
Iklan
Iklan
"Polisi peningkatan ini termasuklah menguatkuasakan semua ketidakpatuhan terhadap arahan-arahan kerajaan. Jawatankuasa itu akan memantau semua pengurusan kewangan BBN dan GLC secara teliti terutama yang membabitkan penggunaan sumber sektor awam.
"Kita akan memastikan semua ketua yang dilantik melakukan kerja dengan intergiti dan kepatuhan kepada undang-undang serta pengurusan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, jawatankuasa itu juga akan meneliti semua cadangan BBN dan GLC untuk kelulusan bagi memastikan pengukuhan pengurusan korporat, keberkesanan operasi, kemampanan prestasi kewangan serta kemampuan pengarah masing-masing.
"Kerajaan negeri akan memastikan kadar ketelusan tinggi dan akauntabiliti dalam pengurusan operasi semua BBN dan GLC di Sabah. Kita mahu memastikan kestabilan kewangan jangka panjang, daya maju komersial untuk pulangan pelaburan dan amalan korporat terbaik,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan