Tiada atlet karate negara layak ke Tokyo

Iklan
Sharmendran tersingkir selepas tewas dalam pusingan ketiga Repechage pada Kejohanan Kelayakan Karate Olimpik di Paris malam tadi.

PASUKAN karate Malaysia bakal menyaksikan sejarah sukan itu dipertandingkan buat kali pertama pada Sukan Olimpik dari rumah kerana tiada seorang daripada mereka layak bertanding dalam temasya sukan antarabangsa yang bakal berlangsung di Tokyo, bulan depan.

Harapan terakhir negara, R Sharmendran tersingkir selepas tewas 1-5 di tangan Nurkanat Azhikanov dari Kazakhstan dalam pusingan ketiga Repechage pada Kejohanan Kelayakan Karate Olimpik di Paris malam tadi.

Iklan
Iklan

Juara Piala Dunia Karate1 2014 yang menerima bai dalam pusingan pertama itu memulakan kempennya dalam kategori lelaki bawah 75 kilogram (kg) dengan mengalahkan Pi Jae-yoon dari Korea Selatan pada pusingan kedua dan wakil Cyprus Panayiotis Loizides dalam pusingan ketiga.

Bagaimanapun, atlet berusia 28 tahun itu gagal melangkah ke suku akhir selepas kecundang 0-5 kepada peserta akhir, Noah Bitsch dari Jerman memaksa dia bertarung dalam pusingan Repechage.

Iklan

Juara Sukan SEA itu yang terus bertanding dalam pusingan kedua Repechage, berjaya mengatasi halangan pertama dengan kemenangan 2-0 ke atas David Podsklan dari Slovakia tetapi kemudian ditewaskan Azhikanov yang kemudiannya memenangi kategori itu.

Semasa pembukaan kejohanan kelayakan itu Jumaat lepas, dua lagi wakil negara juga terlepas peluang ke Tokyo selepas S Prem Kumar dan P Madhuri masing-masing tersingkir pada pusingan kedua dalam kategori lelaki bawah 67 kg dan pada pusingan ketiga kategori wanita di bawah 55kg.

Iklan

Hanya tiga atlet teratas daripada setiap kategori akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan bermula pada 23 Julai depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Vincent Chen berkata, walaupun terlepas peluang ke Sukan Olimpik, prestasi ketiga-tiga atlet itu lebih baik daripada yang dijangkakan.

"Prem yang terpaksa bertukar daripada kategori 55kg kepada kategori yang lebih berat beraksi dengan baik bertarung dengan lawan yang lebih kuat biarpun dia merupakan peserta terendah dalam kategori itu. Madhuri merupakan atlet simpanan tetapi dia beraksi dengan baik dan mengejutkan kami dengan mara ke pusingan ketiga dalam kategori yang kompetitif itu.

"Sharmendran pastinya menyempurnakan lima pusingan itu dengan baik tetapi tewas kepada Azhikanov selepas beberapa serangan mengenai kepalanya, kami akan memeriksa keadaannya. Secara keseluruhan tiada rungutan terhadap prestasi mereka selepas mengambil kira mereka tidak menyertai mana-mana kejohanan selama 16 bulan kerana pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Chen berkata, pandemik itu memaksa banyak kejohanan ditangguhkan atau dibatalkan, hanya Kejohanan Asia dalam Oktober dan Kejohanan Dunia pada November yang telah disahkan berlangsung seperti dijadualkan setakat ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata generasi baharu pasukan kata akan dikenal pasti dan dibangunkan dengan harapan menjadi sebuah pasukan yang disegani pada masa hadapan. - Bernama