TENERIFE - Seorang bapa di Sepanyol tergamak membunuh dua anak perempuannya sebelum membuang mayat mereka ke dalam laut, menurut laporan siasatan awal kehakiman yang dikeluarkan pada Sabtu di bawah kes yang menggemparkan negara tersebut.
Individu dikenali sebagai Tomas Gimeno disebut sebagai suspek utama kehilangan Olivia, 6, dan Anna, 12 bulan, selepas dia didakwa gagal mengembalikan semula kedua-dua anaknya kepada bekas isterinya seperti yang dipersetujui pada akhir April lalu.
"Suspek melakukan pembunuhan itu di kediamannya di Tenerife pada 27 April lalu. Dia kemudiannya membuang mayat anak-anaknya yang dibalut dengan tuala dan disumbat di dalam beg sukan.
"Siasatan awal mendapati suspek sengaja mahu menyakiti perasaan bekas isterinya dengan membunuh anak mereka,” jelas dokumen mahkamah tersebut yang menjelaskan Gimeno turut ditahan bot peronda polis kerana melanggar perintah berkurung, namun pihak berkuasa tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan pada masa itu.
Suspek dipercayai terus menghilangkan diri hingga kini.
Susulan itu, sebuah mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa ke atasnya terhadap dua pertuduhan membunuh dan satu dakwaan melakukan keganasan rumah tangga.
Difahamkan, mayat Olivia telah ditemui pada kedalaman 1,000 meter di dasar laut pada Khamis berhampiran bot bapanya ditemui hanyut, manakala adiknya masih gagal dijumpai.
Menurut Mahkamah Tinggi Pulau Canary, laporan autopsi mendapati kematian Olivia disebabkan oleh edema peparu atau pengumpulan cecair di dalam tisu dan ruang udara peparu.
Pada Jumaat lalu, berita kehilangan kedua-dua mangsa turut mencetuskan protes di kebanyakan bandar di seluruh negara.
"Seluruh rakyat negara ini nyata terkejut. Kami menzahirkan sokongan kepada keluarga mangsa dan menolak keganasan ini,” kata Perdana Menteri, Pedro Sanchez. - Agensi