Konsep globalisasi manusia, alam

Iklan

GLOBALISASI dijelmakan oleh Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia yang dimaksudkan oleh ALLAH SWT dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, yang menegaskan:

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.”

Iklan
Iklan

Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH SWT untuk seluruh umat manusia dengan membawa rahmat untuk semua, perilaku yang beradab sopan, beramanah dan ihsan serta berintegriti. Tidak syak lagi bahawa hal ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa Islam adalah agama global untuk melahirkan umat manusia yang berkualiti dan maju untuk dunia dan akhirat.

Malah tindakan baginda membawa perutusan damai dan kesatuan umat dengan dimulai di kalangan keluarga dan sahabat handai terdekat juga menggambarkan proses globalisasi, dari kalangan masyarakat yang kecil, kemudiannya berkembang di kalangan komuniti yang lebih besar di Makkah, seterusnya ke tengah masyarakat berbilang bangsa di Madinah Al-Munawwarah ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke sana.

Iklan

Inilah sebenarnya tahap-tahap pembangunan ummah dan manusia seluruhnya menurut struktur pimpinan Rasulullah SAW iaitu dari masyarakat tempatan yang terhad, kepada masyarakat yang lebih menyeluruh.

Inilah proses globalisasi dan inilah sebenarnya ajaran dan panduan Islam yang seharusnya terus menerus berkembang ke seluruh dunia hingga ke hari ini, iaitu pada ketika proses globalisasi telah diambil alih oleh Barat dan telah diselewengkan begitu rupa sehingga tujuan murni globalisasi Islam untuk mencipta masyarakat manusia yang aman dan harmoni, mewah dan makmur bersama, akhirnya menjadi proses yang mencipta banyak gelombang kezaliman, diskriminasi, pembolotan kekayaan dunia dan penjajahan yang bertujuan menekan dan mengikis kekayaan harta benda dan hati budi manusia lain, berbeza sama sekali dari proses globalisasi seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Iklan

Konsep persaudaraan Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW sebenarnya melibatkan pembangunan ekonomi dan sistem politik yang sihat dan dinamik.

Menurut sumber sejarah pada zaman permulaan Islam itu, orang Islam di Makkah mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan dan perdagangan, sedangkan orang-orang Islam di Madinah mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian dan kerja tangan.

Kedua-dua bidang inilah yang sebenarnya menguasai dan membentuk ekonomi manusia pada zaman itu, dan dunia pada masa kini melanjutkan usaha itu dengan lebih canggih lagi melalui perkembangan teknologi dan ilmu moden yang mendalam.

Inilah proses globalisasi dan inilah sebenarnya ajaran dan panduan Islam yang seharusnya terus menerus berkembang ke seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Merenungkan satu perutusan al-Quran tentang teknologi perhubungan dan maklumat agak mencukupi untuk kita memahami bagaimanakah perkembangan indera dan pemikiran telah membangunkan manusia menjadi umat berteknologi tinggi dengan firman ALLAH yang agak berulang-ulang kali termaktub di dalam Al-Quran tentang kejadian manusia dan perkembangan pemikirannya dari kecil sehingga dewasa.

Renungkan firman ALLAH SWT bahawa manusia ini dijadikan dengan pertama sekali mempunyai deria pendengaran, kemudian penglihatan, dan seterusnya ke peringkat yang paling matang dengan pemikiran dan keilmuan yang tinggi.

Inilah sebenarnya perspektif teknologi perhubungan dan maklumat, serta pembelajaran dan perkembangan fizikal dan minda manusia yang membangunkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mencipta kehidupan manusia yang amat canggih. Inilah proses pembelajaran dan pembangunan manusia yang unik dalam mencipta kehidupan yang tinggi dan sejahtera untuk dunia dan akhirat. Inilah konsep globalisasi yang sebenarnya.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia