HARIMAU Malaya kehilangan tiga tonggak utama menjelang perlawanan terakhir Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai pada awal pagi Rabu ini.
Tiga tonggak berkenaan iaitu pemain pertahanan kiri, Corbin Ong; pemain tengah, Syamer Kutty Abba dan pemain sayap, Mohamadou Sumareh terlepas aksi menentang Thailand akibat penggantungan perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.
Bagaimanapun, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau mempunyai beberapa pilihan di posisi tesebut dan sedia melakukan beberapa perubahan dalam pasukan.
"Kami sedar tiga pemain utama digantung perlawanan akibat mengumpul kad kuning dan kami barisan jurulatih telah berbincang utnuk menentukan kesebelasan utama pasukan.
"Sudah tentu paling terkesan mungkin di bahagian pertahanan kiri kerana Corbin merupakan pemain utama di bahagian tersebut dan kita tidak ada pemain pertahanan kiri lain.
"Namun, saya yakin pemain lain yang dibawa ini akan menunjukkan kemampan sekiranya beraksi di posisi tersebut. Apa yang penting pemain yang diturunkan itu dapat memberikan yang terbaik kepada pasukan,” katanya dalam sidang media secara maya di Dubai pada Ahad.
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut meminta barisan pemainnya kembali fokus walaupun menyedari masih dipalit dengan kekecewaan selepas tewas tipis 1-2 kepada Vietnam pada awal pagi Sabtu lalu.
"Kita tahu kekecewaan menyelubungi pemain selepas tewas kepada Vietnam, sekali gus tewas dua kali berturut-turut. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadam oleh para pemain.
"Namun, mood pemain saya boleh katakan semakin pulih dan bersedia untuk perlawanan menentang Thailand. Perlawanan seterusnya ini sangat penting kerana kita mahukan keputusan positif untuk mara ke aksi penentuan Piala Asia.
"Saya tahu semua pemain mempunyai cita-cita dan impian yang sama (mara ke Piala Asia 2023) dan saya tahu mereka akan dapat berikan yang lebih baik jika dibandingkan menentang UAE dan Vietnam,” ujarnya.
Pada masa sama, Cheng Hoe turut mengingatkan bahaya yang bakal menanti skuad Harimau Malaya walaupun Thailand juga dilihat tidak berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
"Walaupun skuad Thailand ini banyak berbeza dengan yang pernah kita lawan sebelum ini selepas jurulatih mereka bawa beberapa pemain baharu, tetapi mereka tetap sebuah pasukan yang bagus.
"Kami juga telah meneliti dua perlawanan terakhir mereka dan kami perlu more character, fokus dan disiplin jika mahu menang perlawanan itu nanti,” jelas pengendali berusia 53 tahun itu.