Hikmah di sebalik penangguhan ibadah haji

Iklan

KEPUTUSAN kerajaan Malaysia tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini sememangnya sudah dijangka berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda akan reda.

Ada kalangan jemaah haji Malaysia tidak terlalu berharap untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini kerana banyak kekangan yang perlu dihadapi berserta syarat ketat pihak kerajaan Arab Saudi bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Iklan
Iklan

Terdapat juga sebahagian jemaah yang berat hati untuk melakukan persiapan kerana dapat merasakan bahawa adalah sukar ibadah tersebut dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Oleh itu keputusan dibuat kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan rakyat negara itu dan ekspatriat yang berada di sana untuk menyempurnakan ibadah itu adalah satu tindakan yang tepat.

Iklan

Biarlah keadaan betul-betul reda baru benarkan bakal haji dari negara luar untuk menyempurnakan ibadah berkenaan.

Walaupun ada yang khuatir kuota haji yang bakal diterima Malaysia pada tahun depan tidak lagi sama seperti tahun sebelumnya, ia bukanlah pematah semangat kepada bakal haji untuk menguatkan niat agar dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Iklan

Ini kerana berbalik kepada soal ketentuan Ilahi, jika ALLAH sudah menetapkan seseorang itu akan dapat menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah, maka ia pasti akan berjaya.

Sebaliknya jika sudah ditentukan bahawa tiada rezeki untuk menunaikan haji, maka akan muncul macam-macam halangan walaupun nama sudah termasuk dalam senarai layak tunai haji.

Ketika ini apa yang dapat dilakukan oleh bakal haji yang sudah dua kali tertangguh hasrat murni itu ialah dengan melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan ibadah haji supaya lebih mantap pemahamannya.

Tingkatkan lagi ilmu supaya apabila peluang menjelma pada tahun hadapan, bakal-bakal haji akan menjadi jemaah yang paling terbaik disebabkan ilmu yang lengkap ditimba sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Pastikan juga tahap kesihatan sentiasa berada pada tahap terbaik dan banyakkan berdoa agar hajat akan tercapai jua.