Urus kegelisahan sama penting urus PKP

Iklan

MENDENGAR seorang pemandu lori meluahkan perasaannya menahan kesengsaraan akibat penambahan tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 3.0 selama 14 hari lagi membuatkan sesiapa sahaja jatuh simpati kepada mereka yang berada dalam situasi sepertinya.

Ringkasnya, jika lori tidak berjalan, mereka tiada pendapatan. Kebanyakan mereka dibayar gaji hari.

Iklan
Iklan

Pendapatan dia sekadar cukup untuk menampung keperluan hariannya. Jadi, dia tidak ada simpanan tetap, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah rutin hidup dia saban hari. Jika dia tidak dibenarkan memandu, dia tiada pendapatan harian.

Mungkin bantuan one-off yang dia terima daripada kerajaan meringankan sedikit bebanan hariannya tetapi lepas itu apa? Dia perlu menyara keluarganya setiap hari. Dengan apakah dia hendak menyuap makanan ke mulut mereka jika dia tidak dapat keluar mundar-mandir menghantar barang.

Iklan

Dia bukan satu-satunya pekerja yang terjejas teruk akibat PKP. Kita tahu dan kita sedar ramai lagi yang terjejas. Mereka sepertimana yang lain, menanti dengan penuh debar apa yang akan berlaku seterusnya. Akan ada lagi kah PKP dan apa yang dapat diharapkan daripada kerajaan untuk membantu mereka.

Kerajaan pun kita tahu bertungkus lumus berusaha untuk mencari jalan keluar daripada kemelut ini. Jumaat lalu, kurang lebih tujuh menteri duduk semeja di bawah Jawatankuasa Komunikasi Strategik untuk membincangkan langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil untuk membantu menerangkan kepada rakyat berhubung pelaksanaan program vaksinisasi dan lain-lain.

Iklan

Mereka pun bersengkang mata dan memerah otak untuk mengatasi masalah yang kita semua hadapi. Bagi mereka yang tahu akan tekanan dan tugas berat yang anggota kabinet ini pikul, tidak akan sewenang-wenangnya menghambur kata-kata yang tidak enak didengar dan dibaca di media sosial. Ya, mereka tidak sempurna tetapi pada masa yang sama, mereka juga tidak memeluk tubuh, bukan tidak melakukan apa-apa.

Mereka, para pembuat dasar berhadapan dengan situasi sepertimana kata pepatah, diluah mati emak ditelan mati bapa - pertimbangan di antara keperluan mengekang pandemik ini dengan keperluan memastikan kelangsungan hidup rakyat. Mereka sedar ramai yang sedang menderita sekarang, bukan mereka tidak sedar.

Sebab itulah salah satu langkah yang dicadangkan oleh para pemerhati dan penganalisa semasa ialah saranan agar kerajaan menetapkan apa yang dipanggil angka petunjuk/indikator sejauh manakah PKP 3.0 ini boleh diteruskan atau pun boleh ditamatkan.

Misalnya, jika negara dapat menstabilkan kes positif Covid-19 pada tahap tertentu, PKP 3.0 ini boleh ditamatkan kerana pada tahap tersebut, institusi kesihatan kita khususnya hospital dan pusat rawatan dan kuarantin pesakit Covid dapat menampung atau mengendalikan urusan pandemik ini dengan berkesan.

Jika indikator ini diperkenalkan, setidak-tidaknya ia bukan sahaja memberi harapan kepada semua untuk menjangkakan bilakah urusan harian mereka boleh kembali ke tahap minimal (walaupun belum normal) malah akan mendorong semua orang berusaha ke arah mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ini adalah logika yang mudah kerana jika ditanya kepada setiap individu di negara ini, tidak ada siapa pun yang mahu terus kekal dalam suasana seperti sekarang selama-lamanya. Kita semua mahukan hidup normal kita kembali secepat yang mungkin.

Dan sekiranya angka petunjuk ini dapat dikongsi secara telus (mesti ada satu mekanisme bagaimana cara perkongsian ini dapat dilakukan) dengan semua, dalam konteks ini, semua itu adalah rakyat jelata, setidak-tidaknya akan dapat mengurangkan tahap keresahan yang sedang ditanggung sekarang.

Kegelisahan berpunca daripada perasaan takut akan masa depan yang tidak menentu. PKP adalah suatu fenomena yang tidak menentu. Maka ia perlu diurus dengan baik dan bijak agar kegelisahan rakyat tidak berpanjangan.

Keresahan atau kegelisahan, jika tidak diurus dengan baik akan membawa kepada stres dan malapetaka yang lebih dahsyat - iaitu menjurus kepada zaman edan (zaman gila).

Kata pujangga Jawa, Ronggowarsito yang hidup di zaman edan sewaktu penjajahan Belanda:"Hidup di zaman edan gelap jiwa bingung pikiran, turut edan hati tak tahan, jika tak turut, batin merana dan penasaran, tertindas dan kelaparan, tapi janji Tuhan sudah pasti, seuntung apapun orang yang lupa daratan lebih selamat orang yang menjaga kesadaran.

"Kita berharap dan berdoa agar kita tidak perlu lalui apa yang dipanggil zaman edan sepertimana yang pernah dialami oleh Ronggowarsito dan mereka yang sezaman dengannya.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian.