Hilang pendapatan, anak pula derita buah pinggang

Iklan
Muhammad Azri Danial hanya terlantar kerana menghidap sakit buah pinggang kronik sejak Mei lalu. Gambar kanan: Gambar kenangan antara Rozita (kiri) dan Muhammad Azri Danial ketika remaja itu masih sihat.

KOTA BHARU - [DKEMAS KINI] Kesukaran hidup dilalui sepasang suami isteri peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19 sejak setahun lalu bertambah perit dengan keadaan anak ketiga pula yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Remaja terbabit, Muhammad Azri Danial Hasbullah, 17, anak pasangan Hasbullah Mohd, 52, dan Rozita Ramli, 43, tinggal di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh.

Iklan
Iklan

Rozita berkata, anaknya yang belajar di Sekolah Pondok Langkat di Setiu, Terengganu itu disahkan menghidap penyakit berkenaan pada Mei lalu dan kini terlantar dirawat di Hospital Lati Pasir Mas.

Katanya, Muhammad Azri Danial sebelum ini kerap mengalami kekejangan ketika tidur pada waktu malam dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi tujuan rawatan sebelum dipindahkan ke Pasir Mas.

Iklan

"Dia dirawat kerana sakit buah pinggang tahap lima dan 'CT scan' yang baru dilakukan mendapati ada masalah pendarahan kecil pada kepala serta perut.

"Saya buntu kerana ketika ini tidak ada punca pendapatan daripada menjual baju dan jam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh akibat ancaman Covid-19 dan sudah empat bulan berturut-turut tidak berniaga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan
Rozita Ramli (kanan) yang mengucup dahi Muhammad Azri Danial sambil membisikkan kata-kata semangat kepada anaknya itu.

Kata ibu empat anak itu, anak sulungnya meninggal dunia pada tahun 2019 kerana masalah jantung manakala dua lagi anak yang berusia 19 tahun lelaki dan 15 tahun perempuan bergilir-gilir membantu menjaga Muhammad Azri Danial yang sakit di hospital.

"Muhammad Azri Danial kini berada dalam keadaan lemah dan kadang-kala meracau-racau kerana sakit. Saya pula tidak dapat menemaninya kerana berpenyakit jantung.

"Kami sekeluarga kini menumpang di rumah tumpangan milik kawan saya yang berdekatan dengan Hospital Lati kerana tidak mempunyai wang untuk menampung kos berulang-alik dari Kota Bharu apatah lagi menyewa rumah lain bahkan bayaran sewa rumah di Pasir Tumboh juga tertangguh dua bulan,” katanya sebak.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga kini hanya bergantung ihsan daripada saudara-mara dan pernah membuat hantaran status di Facebook tentang keadaan kesihatan anaknya itu.

"Saya dan suami terlalu buntu kerana terlalu sukar untuk menjalani kehidupan ketika ini hinggakan sebungkus nasi pun payah nak dibeli.

"Apatah lagi belanja untuk kesihatan anak kami yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM2,000 sebulan termasuk rawatan hemodialisis yang bermula minggu depan, lampin pakai buang dan kos berulang-alik ke hospital,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Rozita Ramli Bank Islam 03111020313273 atau hubunginya di talian 011-17912609.