JPNP bongkar kegiatan lombong emas haram dalam hutan

Iklan
Anggota penguat kuasa JPNP meninjau lubang yang digali pelombong haram untuk mengaut tanah dan batu yang mengandungi emas di satu lokasi dalam kawasan Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah, Rompin pada operasi bermula Selasa hingga Khamis lalu. - Foto: JPNP

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya membongkar kegiatan melombong emas secara haram menggunakan kaedah lubang di Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah, Rompin.

Dalam Operasi Bersepadu Lombong yang dijalankan selama tiga hari berakhir pada Khamis lalu itu, tiada tangkapan dilakukan memandangkan pelombong haram yang disyaki dalam kalangan warga asing lebih awal meninggalkan kawasan tersebut bagi mengelak dicekup.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka mendapat maklumat kehadiran pihak berkuasa dan segera melarikan diri.

Nor Azirim berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya merampas dua jengkaut yang ditemui dalam kawasan hutan simpan itu.

Iklan

"Kejayaan ini hasil tindakan Penguat kuasa JPNP Zon Timur dan Zon Barat bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UNIFIED).

"Bertindak atas maklumat, pasukan ini melakukan serbuan ke lokasi dengan menempuh perjalanan sejauh 45 kilometer melalui jalan balak.

Iklan

"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati wujud aktiviti perlombongan emas secara haram menggunakan kaedah lubang bagi mendapatkan tanah serta batu yang mengandungi emas.

"Cara itu dipercayai lebih mudah dan memberi hasil lebih lumayan berbanding kaedah palong dan mendulang," katanya.

Dua jengkaut yang ditemui dalam kawasan Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah, Rompin dirampas untuk siasatan lanjut. - Foto: JPNP

Nor Azirim berkata, pihaknya percaya kegiatan itu didalangi tiga atau empat individu warga asing dan mereka juga profesional dalam menggunakan teknologi moden untuk mengesan jajaran emas yang terdapat dalam Hutan Simpan Ibam itu.

Menurutnya, kegiatan melombong emas secara haram menggunakan kaedah lubang itu pertama kali dikesan di negeri ini.

"Kita percaya mereka menggunakan kaedah ini kerana faktor kandungan mineral berharga itu yang banyak walaupun ia amat bahaya dan berisiko berlaku tanah runtuh dan tertimbus.

"Kegiatan ini juga dipercayai dijalankan sepanjang hari di mana kerja-kerja mengambil tanah serta batu dilakukan pada waktu malam kerana pantulan kilauan emas lebih jelas," katanya.

Tambahnya, tanah dan batu yang dikaut diletakkan di dalam guni sebelum dipindahkan untuk aktiviti mengayak di kawasan takungan air yang disediakan.

Nor Azirim berkata, pihaknya akan terus melakukan rondaan secara berterusan di kawasan Hutan Simpan Ibam bagi mengesan aktiviti melombong emas secara haram,

"Pada awal tahun lalu anggota UTK PHD Rompin berjaya menahan empat individu yang dikesan melakukan aktiviti melombong emas secara haram di Sungai Charah dalam Hutan Simpan Ibam," katanya.