Pas setuju UMNO tidak desak kerajaan adakan PRU15

Iklan
Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM - Pas setuju dengan keputusan UMNO untuk tidak mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat memandangkan negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut amat tepat pada masanya kerana fokus kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memerangi Covid-19 yang masih belum reda.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk bukan sahaja dari segi aspek kesihatan, malah ekonomi.

"Justeru, semua pihak terutama parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira fahaman serta aliran pemikiran agar sama-sama dapat membantu kerajaan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar.

Iklan

"Selain itu, isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga serta kewangan wajar dielakkan semaksimum mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Takiyuddin berkata, pihaknya yakin kerajaan akan terus melaksanakan langkah proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya dapat dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Iklan

Pada Ahad, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggesa mana-mana parti termasuk UMNO untuk tidak mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan PRU15 dalam waktu terdekat ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, sekiranya PRU15 diteruskan, ia hanya akan menyukarkan usaha kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 ketika ini.