PPV bergerak di Muar akan diteruskan di kawasan Orang Asli dan Felda

Iklan
Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhaidah Ujang (tengah) memberikan penerangan kepada ADUN Sungai Balang Zaiton Ismail (kiri) berkenaan perjalanan Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) Bergerak di Kompleks Penghulu Sungai Balang, di sini. -Foto Bernama

MUAR - Pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di daerah Muar akan diteruskan di beberapa kawasan lagi, yang bakal memfokuskan kawasan kampung terutamanya penempatan Orang Asli dan juga Felda.

Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, pihaknya akan memastikan setiap individu yang berdaftar untuk proses vaksinasi pada fasa kedua di daerah ini, yang membabitkan golongan warga emas mendapat vaksin walaupun berada di kawasan pedalaman.

Iklan
Iklan

Katanya, program PPV bergerak ini diteruskan pada hari ini (14 Jun) di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Balang, setelah dijangkakan berjalan selama 10 hari sehingga 24 Jun atau sasaran 2,000 penerima vaksin selesai.

"Kita juga telah berhubung dengan beberapa pihak lain seperti Institut Jantung Negara (IJN), bagi memperbanyakkan PPV bergerak di daerah ini.

Iklan

"Bermula 19 Jun 2021 ini, PPV bergerak akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felcra Bukit Kepong, dengan sasaran sekitar 1,000 penerima vaksin,” katanya ketika ditemui Bernama pada Isnin.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar, Dr Noorhaidah Ujang berkata, pihaknya turut merancang untuk meneruskan PPV bergerak terbabit di kawasan pedalaman dan kawasan kampung.

Iklan

Katanya, sekiranya mendapat tambahan jumlah vaksin, PPV bergerak ini akan dilaksanakan di kawasan Lenga, di mana di kawasan terbabit terdapatnya perkampungan Orang Asli.

"Kita juga akan bergerak ke kawasan Felda yang di kawasan sana turut mempunyai generasi pertama, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang Zaiton Ismail berkata, pihaknya dengan kerjasama penghulu dan ketua kampung, mengambil masa tiga minggu untuk mendaftarkan penerima vaksin yang jumlahnya sekitar 2,000 orang untuk divaksin bermula hari ini (14 Jun).

Dalam pada itu, penerima vaksin Kamsinah@Minah Eksan, 82, berkata, dia bersyukur menerima vaksin Covid-19 ini, lebih-lebih lagi lokasinya agak hampir dengan kediamannya, di Parit Jamil.

Katanya yang sebelum ini belum berdaftar dengan MySejahtera, turut berterima kasih kepada ketua kampung dan ADUN Sungai Balang kerana mendaftarkannya, sekali gus menerima vaksin pada hari ini.

"Alhamdulillah...saya bersyukur dan gembira setelah mendapat vaksin ini, sekurang-kurangnya saya kini dapat melindungi diri dan juga mereka yang ada berhampiran dengan saya (ahli keluarga),” katanya.

Seorang lagi penerima vaksin Siti Marim Katomon, 68, berkata, lokasi PPV bergerak ini jaraknya hanya tiga kilometer daripada rumahnya di Kampung Parit Yusuf, Semerah.

"Memang agak dekat dengan rumah PPV bergerak ini dan ia memudahkan saya, berbanding sebelum ini saya perlu ke Pagoh, yang jaraknya hampir 30 kilometer sehala,” katanya.- Bernama