Smart Bucket Backhoe harumkan nama MDM

Iklan
Smart Bucket Backhoe yang dipasang pada jentolak dapat mengangkut sampah di pantai dengan berkesan tanpa pasir.

MARANG – Keberkesanan fungsi jentera pembersih salji yang digunakan di negara Eropah memberi idea kepada Majlis Daerah Marang (MDM) menghasilkan inovasi alat pembersih pantai yang dinamakan Smart Bucket Backhoe.

Lebih membanggakan, alat dicipta kumpulan Inovasi V-Clean MDM itu berjaya memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi MALA 2020 Piala YB Menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan tempat pertama bagi kategori Majlis Daerah.

Iklan
Iklan

Kemenangan pertandingan anjuran Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) diadakan secara dalam talian pada Jumaat itu juga melayakkan MDM menerima geran peruntukan sebanyak RM250,000 dan wang tunai RM4,000 bagi juara kategori Majlis Daerah.

Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Fadli Yusof Zakaria berkata, Smart Bucket Backhoe dicipta pada tahun 2017 dengan kos lebih RM8,000 bagi tujuan membersihkan sampah sarap di Pantai Peranginan Pulau Kekabu hasil ombak besar musim tengkujuh.

Iklan

"Setiap kali musim tengkujuh, pantai peranginan khususnya di Pulau Kekabu sepanjang 1.2 kilometer akan dipenuhi sampah sarap besar seperti buah kelapa, pelepah, batang kayu besar yang ditolak dari Laut China Selatan berikutan ombak besar.

"Sampah besar, berat dan kawasan berpasir memberi cabaran kepada pekerja pembersihan apabila mereka terpaksa menghabiskan masa hampir tujuh jam dengan kekuatan 15 orang untuk membersihkan semua sampah berkenaan,” katanya.

Iklan

Bagi menyelesaikan masalah itu, kumpulan Inovasi V-Clean diketuai Arman Alias@Hussain mencipta Smart Bucket Backhoe iaitu bakul berjaring besar yang boleh dipasang dan dialih pada jentolak. Projek ini berjaya dibina dalam tempoh dua bulan.

Menurut Fadli, selepas diuji, Smart Bucket Backhoe berjaya membersihkan pantai dari longgokan sampah ketika musim tengkujuh dalam tempoh satu jam setengah manakala hanya dua pekerja diperlukan iaitu pemandu jentolak dan pemandu lori.

Beliau berkata, selain digunakan di pantai pada musim tengkujuh, alat itu juga sesuai untuk mengangkut longgokan sampah dari tapak pembuangan sampah haram berikutan air larut resapan (leachate) dapat ditapis dari mengotorkan lori serta jalan raya.

"Inovasi ini boleh jimatkan kos, masa dan tenaga dalam melakukan kerja-kerja pembersihan kerana jika kita lihat mesin pembersih pantai dalam pasaran, paling murah harganya sekitar RM71,000 namun hanya boleh angkut sampah kecil saja.

"Tapi Smart Bucket Backhoe boleh angkut sampah dan pepejal bersaiz besar dan setakat ini kita hanya gunakan ia di pantai Pulau Kekabu pada musim Monsun Timur Laut kerana pasirnya padat memudahkan jentera masuk,” katanya.