SHAH ALAM - Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) merayu kerajaan memberikan moratorium secara automatik sehingga 31 Disember ini bagi menyelamatkan industri bas sekolah.
Pengerusinya, Mohd Haron Mohamad Sidik berkata, terdapat pengusaha bas sekolah yang kehabisan wang simpanan untuk membayar kos baik pulih bas atau van sekolah, insurans, pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan lain-lain selepas pengumuman pembukaan semula sekolah pada 8 Mac lalu.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun menurutnya, mereka kembali buntu untuk mencari sumber pendapatan selepas kerajaan mengumumkan penutupan sekolah pada awal Mei diikuti pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh pada 1 Jun lalu.
"Pengusaha bas sekolah tidak mampu bertahan lagi untuk meneruskan perniagaan bas sekolah. Ada yang berhutang dan ada yang ke pajak gadai untuk memastikan perniagaan mereka dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Haron berkata, pengusaha juga buntu untuk mencari sumber pendapatan bagi membayar kos pemeriksaan Puspakom jika sekolah dibuka semula.
Ujarnya, ada antara mereka menerima panggilan daripada pihak bank kerana gagal melunaskan hutang dan bayaran pinjaman.
"Hutang semakin bertambah. Setiap hari pihak bank dan kredit menelefon pengusaha supaya membayar pinjaman bulanan tidak termasuk duit sara hidup keluarga dan hutang lain,” katanya.