SEREMBAN - Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada Isnin terhadap pemilik akaun Facebook 'Love From LGBT Malaysia' yang didakwa menghina agama Islam dan mempersenda kalimah ALLAH.
NGO berkenaan ialah Majlis Ayahanda Malaysia, Pertubuhan Al Ehsan Negeri Sembilan, Gagasan Aspirasi Pembangunan Ekonomi Nasional (Gapen) Malaysia, Pertubuhan Amal Kebajikan Negeri Sembilan (Pakins), Pertubuhan Kebajikan Imam Semalaysia, Pekida Negeri Sembilan, Rukun Tetangga TSI, Pertubuhan Seni Silat Burung Rajawali Putih Negeri Sembilan dan Permuafakatan Majlis Ayahanda Semalaysia Negeri Sembilan (Permas).
Pada hantaran di Facebook itu, pemiliknya membuat jualan baju-T yang ditulis dengan perkataan menghina ALLAH, selain turut dikongsi gambar dua lelaki sedang bercumbuan di atas gambar Kaabah.
Presiden Pertubuhan Seni Silat Burung Rajawali Putih Negeri Sembilan, Datuk Mohd Ridzuan Ismail berkata, kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serius terhadap perbuatan biadab itu, sekali gus memastikan tiada lagi yang berani mempersendakan agama Islam.
"Kami sangat terkesan dengan isu ini. Saya minta pihak berwajib main peranan penting dalam membendung perkara ini supaya tidak menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
"Kami juga berharap perkara ini diselesaikan secara baik. Kami bukannya bangkitkan isu ketuhanan Melayu, cuma kami tidak mahu agama kami dipermainkan seperti ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis pada Isnin.
Sementara itu, Presiden Gapen, Abdul Rahim Omar berkata, tindakan pemilik akaun berkenaan ternyata telah menggores hati masyarakat Islam di negara ini, sekali gus menggugat keharmonian negara.
Ujarnya, perkongsian di Facebook itu juga telah tersebar luas dan ia boleh mengundang suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat Islam.
"Kita tinggal dalam negara berbilang kaum dan elakkan perbuatan yang menghina agama sesama kita.
"Kita sudah tinggal dalam keadaan yang harmoni, kenapa kita mahu merosakkannya. Saya berharap tindakan dapat diambil terhadap pemilik akaun tersebut," katanya.