Kelantan dijangka beri vaksin rumah ke rumah

Iklan
JKNK dijangka melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah menjelang September atau Oktober ini.

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dijangka melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah menjelang September atau Oktober ini.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya bercadang memulakan kaedah dari rumah ke rumah itu setelah selesai proses vaksinasi melalui pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan PPV sementara sedia ada termasuk program Outreach.

Iklan
Iklan

"Sekiranya, ia (Program Outreach) dapat diselesaikan dengan cepat kita akan memulakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah untuk Orang Kurang Upaya (OKU), terlantar dan sebagainya menjelang September atau Oktober nanti jika tiada masalah bekalan vaksin,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.

Beliau mengulas laporan berita mengenai bekas atlet negara yang diusung anggota bomba ke PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin serta tular di media sosial dan menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet mengenai tindakan pihak berkaitan yang tidak mengatur pemberian vaksin di rumah bekas atlet terbabit.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, pemberian vaksin dari rumah ke rumah akan melibatkan jumlah petugas yang banyak membabitkan jururawat, pemandu dan lain-lain untuk ke setiap rumah.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini turut memaklumkan sehingga kini seramai 145,447 individu telah menerima dos pertama vaksin masing-masing manakala 64,943 selesai dos kedua di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Kelantan.

Iklan

Sementara itu di Padang Rengas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata isu vaksin untuk keseluruhan kira-kira 40,000 warga pendidik di negeri itu telah dibawa ke pihak atasan untuk dipertimbangkan.

"Saya telah membangkitkan isu vaksinasi membabitkan guru dalam mesyuarat exco minggu lepas. Kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad memberikan jaminan sekiranya vaksin yang diterima minggu depan, golongan guru akan diutamakan bagi mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri Perak juga baru saja melancarkan program vaksinasi secara pandu lalu dan beliau telah mohon untuk memasukkan golongan pendidikan dalam program berkenaan.