Aktivis hak pelarian bantu sebar maklumat vaksin

Iklan

KUALA LUMPUR -"Janji temu vaksinasi saya adalah pada 8 Julai. Saya sangat teruja dan menantikannya," kata Hasan Al-Akraa, seorang aktivis pelarian di Malaysia yang juga seorang pelarian.

Pengasas Bersama Tabung Kecemasan Pelarian (REF) dan Jaringan Sukarelawan Al-Hasan (AHVN) menyambut baik langkah kerajaan Malaysia dalam memperluas vaksinasi Covid-19 kepada semua rakyat asing yang tinggal di negara ini, termasuk pelajar, pelarian dan pendatang tanpa dokumen.

Iklan
Iklan

Malah, Hassan, seorang pelarian Syria yang menetap di Malaysia bersama keluarganya sejak 12 tahun lalu berkata organisasi bukan keuntungan itu dan Akses Suaka Malaysia telah bekerjasama untuk menyebarkan maklumat mengenai pemberian vaksin kepada pelarian lain.

"Tahun ini, apa yang telah kami lakukan sejak sebulan yang lalu adalah membuat tutorial video dalam beberapa bahasa tentang bagaimana pelarian dapat mendaftar di aplikasi MySejahtera, dan juga di laman web rasmi program vaksinasi.

Iklan

"Kami sebarkan kepada pelarian di luar sana, menggalakkan mereka untuk mendaftar dan tidak lama lagi, kami merancang untuk mengadakan bengkel dalam talian buat pelarian. Mereka boleh mengajukan pertanyaan mengenai vaksin," kata Hassan ketika diwawancara Program Bernama TV, 'Mid-Day Update' pada Isnin.

Hassan, yang juga Aktivis Hak Pelarian ditemubual sempena Hari Pelarian Sedunia yang disambut pada 20 Jun.

Iklan

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri meminta Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR) menyerahkan senarai dan maklumat mengenai pelarian di negara ini untuk vaksinasi Covid-19.

Ketika ini, terdapat 178,715 pemegang kad UNHCR. Kementerian juga telah mengenal pasti hampir 2.5 juta rakyat asing di negara ini yang memegang pelbagai dokumen sama ada yang dikeluarkan oleh kerajaan atau pihak ketiga seperti UNHCR, termasuk banduan dan tahanan Imigresen, untuk vaksinasi Covid-19.

Mengulas bagaimana rakyat Malaysia dapat membantu pelarian yang tinggal di negara ini, Hassan berkata, penting untuk meningkatkan kesedaran dan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai pelarian.

"Mulakan dalam kalangan rakan anda sendiri, dapatkan maklumat yang tepat dan kongsi juga mengenai sumbangan pelarian kepada Malaysia, dan cuba bersahabat dengan komuniti pelarian," kata Hassan sambil menambah kerja sukarela dan sumbangan juga akan membantu mereka yang memerlukan bantuan kesihatan asas.

Bertemakan 'Together We Heal, Learn and Shine, Hari Pelarian Sedunia tahun ini meraikan ketabahan dan keberanian mereka yang terpaksa meninggalkan tanah air untuk menghindari konflik atau penganiayaan. - Bernama