Kilang proses ayam langgar SOP diarah tutup

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 13 Jun lalu bertajuk tular lori bawa 135 pekerja asing positif Covid-19.

ALOR SETAR - Sebuah kilang memproses ayam di Sungai Petani yang tular dengan kejadian warga asing positif Covid-19 dibawa menaiki lori pada Ahad mendapat kelulusan beroperasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana melibatkan rantaian makanan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Kedah, Azman Nasrudin berkata, bagaimanapun kilang tersebut didapati bersalah kerana tidak mematuhi syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian yang tular itu telah mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk pimpinan yang menyalahkan kerajaan terutamanya MITI.

"Pemilik kilang tersebut telah memohon kelulusan MITI dan Jabatan Veterinar dan mendapat kelulusan atas sebab keperluan masyarakat kerana melibatkan rantaian makanan.

Iklan

"Kesalahan pengusaha kilang ialah mereka tidak mengikut SOP kerana tidak mengasingkan pekerja yang bergejala selain tidak merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan menyeluruh termasuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Iklan

Menurutnya, kilang tersebut telah pun diarahkan tutup bagi tujuan sanitasi dan tindakan susulan.

"Dari segi pengeluaran produk ayam, ia tidak menjejaskan (akibat penutupan kilang tersebut) kerana masih banyak syarikat memproses ayam yang masih beroperasi dan mematuhi SOP.

"Saya mohon kerjasama kilang- kilang dan pihak industri yang telah mendapat kelulusan beroperasi supaya sentiasa mematuhi syarat-syarat dan SOP yang telah dipersetujui dari agensi yang berkenaan semasa memohon untuk beroperasi," ujarnya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan video dan gambar sebuah lori yang membawa kira-kira 40 warga asing memakai gelang merah jambu di Sungai Petani tular di media sosial.

Kesemua penumpang berdiri dalam lori terbabit memakai gelang kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan difahamkan mereka adalah pekerja di sebuah kilang yang disahkan positif Covid-19 dibawa menaiki lori ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berikutan video berdurasi 19 saat yang tular kira-kira jam 5 petang, pihaknya bertindak mengesan lori bersama individu terbabit serta-merta.