APABILA Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan tahun lepas bahawa Covid-19 telah menjadi satu pandemik, banyak negara di seluruh dunia termasuk Malaysia mengambil keputusan untuk menyekat dan menutup negara masing-masing bagi mengawal penyebaran virus tersebut.
Kesan ekonomi daripada penyekatan dan penutupan ini telah mengakibatkan aktiviti-aktiviti ekonomi terhenti menghasilkan kesan terbalik terhadap pertubuhan ekonomi. KDNK Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020, dengan penguncupan terbesar berlaku pada suku kedua apabila KDNK merosot sebanyak 17.1 peratus.
Mengetahui kesan penutupan dan penyekatan mungkin teruk bagi sebilangan individu dan perniagaan, industri perbankan Malaysia, setelah berbincang dengan Bank Negara Malaysia, memutuskan untuk melaksanakan moratorium automatik enam bulan bagi segmen pengguna.
Ini berdasarkan kepada asas bahawa segmen pengguna adalah yang paling terkesan dan oleh itu mereka harus diberi peluang untuk menyimpan atau menyusun semula kewangan mereka. Kami percaya tempoh enam bulan adalah mencukupi untuk individu dan perniagaan kecil bagi menyediakan mereka untuk jangka masa yang panjang walau pun industri kesihatan bertungkus lumus untuk menghasilkan vaksin.
Walaupun ini merupakan satu kelegaan bagi mereka yang terkesan akibat pandemik ini, terdapat juga ramai peminjam yang kewangan mereka tidak terkesan dengan pandemik ini tetapi masih menikmati bantuan tersebut.
Sebenarnya, kita tahu bahawa Malaysia adalah salah satu daripada hanya segelintir negara di seluruh dunia yang melaksanakan moratorium secara automatik. Kebanyakan negara melaksanakan skim serupa dengan Bantuan Pembayaran Balik (RA) dan Bantuan Pembayaran semasa, disasarkan khas untuk mereka yang memerlukannya.
Kami juga mendapati bahawa apa yang berlaku semasa jangka masa moratorium tersebut ialah, lebih dari 70 peratus peminjam di Malaysia mengambil moratorium automatik, tetapi sejurus ia berakhir, peratus pelanggan yang meneruskan RA dan seterusnya TRA adalah sekitar 15 peratus, berbanding dengan apa yang kita dapat lihat di Singapura dan Indonesia misalnya.
Mari kita lihat moratorium secara mendalam
Kesan dari moratorium adalah sangat cepat dan memang ketara terhadap industri perbankan. Pada masa pembayaran pinjaman ditangguhkan selama enam bulan, bank-bank harus terus membayar pinjaman mereka tersendiri yang telah diambil untuk memberi pinjaman kepada pengguna – bank-bank tidak diberikan moratorium untuk pinjaman dan pembayaran faedah mereka itu.
Sehubungan dengan itu, pengurangan pendapatan harus diperuntukkan dalam akaun bank atau lebih dikenali kerugian ubah suai.
Rahmat yang menyelamatkan bank – sekurang kurangnya untuk tahun 2020 - adalah kadar dasar semalaman (OPR) yang dikurangkan secara beransur-ansur sebanyak 1.25 peratus dan ini mengakibatkan peningkatan nilai pelaburan yang dimiliki oleh bank.
Namun, ini diimbangi oleh pengurangan pendapatan faedah bagi aset bank. Ini mengakibatkan pendapatan operasi bank lebih rendah untuk bank. Seterusnya, bank harus menambahkan peruntukan untuk kerugian pinjaman kerana jangkaan kenaikan pinjaman buruk dalam masa terdekat akibat Covid-19. Oleh itu, keuntungan bank komersial dikurangkan secara kumulatif sebanyak 22 peratus pada tahun 2020.
Pinjaman dan dividen kepada orang ramai akan terkesan
Izinkan saya untuk menerangkan kenapa penting bagi bank untuk kekal kukuh dari segi kewangan. Keuntungan yang diumumkan oleh bank dalam sesuatu tahun tertentu di guna dengan dua cara.
Sebahagian dikekalkan sebagai modal untuk memberi pinjaman, kerana bagi bank untuk memberikan pinjaman tambahan, mereka memerlukan modal tambahan.
Selebih keuntungannya diagihkan sebagai dividen kepada pemegang saham. Sebilangan besar ekuiti bank dipegang oleh pelabur institusi Malaysia. Ini bermaksud bahawa keuntungan kemudian mengalir kembali kepada orang ramai dalam bentuk dividen.
Banyak bank di Malaysia mempunyai pemegang saham institusi yang besar seperti PNB dan dananya, KWSP, KWAP dan Tabung Haji.
Oleh itu bank berusaha keras untuk memastikan ia diuruskan dengan baik sehingga mereka dapat mengagihkan dividen yang berterusan kepada pemegang saham yang akhirnya juga disalurkan ke dalam dividen pemegang unit ASB, ahli KWSP dan Tabung Haji, pesara-pesara kerajaan dan sebagainya. Sebilangan besar mereka bergantung kepada pulangan yang berterusan daripada pelaburan ini untuk keperluan kewangan dan persaraan.
Isu berkaitan modal, jika bank tidak dapat menambahkan modalnya, bank mungkin perlu memperlahankan atau berhenti memberikan pinjaman baharu. Untuk memberi pinjaman apabila modal tidak mencukupi akan mengakibatkan risiko kepada bank dan sistem kewangan.
Kita boleh mengambil iktibar daripada Krisis Kewangan Global pada tahun 2008, semasa intitusi kewangan tidak memiliki modal untuk menyerap kerugian yang dialami daripada pinjaman subprima. Bank perlu mengembangkan modal bagi membolehkan bank memberikan pinjaman untuk membantu negara pulih dengan lebih cepat
Moratorium disediakan untuk mereka yang memerlukan
Ia membawa saya kepada hujah mengapa moratorium bersasar adalah cara yang sesuai dan bukan moratorium automatik. Pertama sekali, moratorium automatik mengakibatkan bantuan disalurkan kepada semua orang termasuk orang yang berkemampuan dan mereka yang bergaji/pendapatan tidak terkesan.
Bagi kumpulan ini, moratorium menyeluruh bermaksud orang lain membayar kos pinjaman mereka, kos yang harus dibayar oleh semua orang samada secara langsung atau tidak langsung kemudiannya. Moratorium harus ditawarkan kepada mereka yang memerlukannya, seperti mana negara-negara lain melakukannya.
Pada pandangan saya, apa yang harus kita fokuskan adalah seperti berikut:
1. Mereka yang sangat terkesan akibat penutupan dan penyekatan (sama ada kehilangan pekerjaan atau sebahagian besar pendapatan atau perniagaan mereka terkesan), harus terus mendapat manfaat daripada penangguhan atau pengurangan pembayaran pinjaman bagi sesuatu tempoh – itulah yang sedang kita lakukan sekarang.
Namun, kita juga perlu ingat bahawa ada perbelanjaan lain yang harus ditanggung oleh peminjam ini seperti sewa, utiliti dan pengangkutan. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan, terdapat juga kos pentadbiran operasi yang perlu ditanggung. Semua ini juga perlu ditangguhkan agar peminjam dapat sedikit ruang untuk bernafas.
2. Sebagai sebuah negara, kita seharusnya secara kolektif dan secara individu menyokong perniagaan PKS terutama jika mereka beroperasi di kawasan kejiranan kita sendiri supaya mereka dapat mempertahankan perniagaan mereka dalam tempoh menduga ini.
PKS juga boleh mempertimbangkan kemungkinan mengubah model perniagaan mereka menggunakan platform digital untuk membolehkan mereka menyampaikan perkhidmatan atau produk mereka, atau menggunakan perkhidmatan pengiriman yang meluas di negara ini.
Dalam semangat #kitajagakita, kita semua harus bersama membantu dan menolong. Tetapi bagi mereka yang sukar untuk beroperasi, kita harus mencari jalan untuk membantu mereka, paling tidak seperti mana yang telah saya nyatakan pada perkara pertama di atas.
Bagi pihak bank, kami akan terus memberi tumpuan kepada cara untuk membantu mereka yang terkesan daripada Covid-19. Bank-bank sangat akomodatif dengan skim bantuan pembayaran balik mereka yang berbeza-beza, dan akan terus melakukannya.
Melalui pendekatan bersasar ini, bank akan dapat memelihara modal, supaya mereka dapat memainkan peranan dengan berkesan sepanjang tempoh pemulihan. Modal adalah terhad. Kita mesti menggunakannya dengan bijak.
* Datuk Abdul Farid Alias adalah Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia.