NEGARA haram Israel yang memiliki Perdana Menteri baharu, Naftali Bennett pada Ahad akan terus mendapat tentangan daripada para pejuang Hamas dan Palestin ekoran tindakan rejim Zionis itu yang masih menjajah Gaza dan Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.
Bennett, 49, dipilih oleh anggota-anggota Parlimen Israel sebagai Perdana Menteri baharu selepas beliau menang tipis dengan kelebihan satu undi apabila memperoleh 60 undi sekali gus menewaskan penyandang jawatan itu selama 12 tahun, Benjamin Netanyahu, 71, yang mendapat 59 undi.
Bennett mengetahui parti Yamina yang hanya memperoleh tujuh kerusi di Parlimen dan beliau akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum digantikan oleh pemimpin parti Yesh Atid, Yair Atid, 57 selama dua tahun lagi.
Pemilihan jutawan, bekas menteri dan mantan ketua staf Netanyahu itu dibuat menerusi undian setelah parti politik pimpinan Atid berjaya mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan campuran dengan parti diketuai Bennett bersama beberapa parti lain lagi.
Tujuan pembentukan kerajaan campuran tersebut adalah untuk menyingkirkan Netanyahu yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Perdana Menteri Israel paling muda yang berkhidmat pada tahun 1996 hingga 1999 ketika berumur 46 tahun.
Netanyahu kemudian sekali lagi menjadi Perdana Menteri Israel pada tahun 2009 hingga pada Ahad lalu.
Pemilihan Bennett sebagai Perdana Menteri baru itu berlaku tidak sampai sebulan gencatan senjata dikuatkuasakan pada Mei lalu antara rejim Israel di bawah pimpinan Netanyahu dengan para pejuang Hamas selepas bertempur selama 11 hari pada bulan lepas.
Dalam pertempuran itu, lebih 200 penduduk Gaza terkorban dan lebih 1,900 lagi cedera manakala banyak bangunan serta kemudahan infrastruktur rosak di Gaza yang berlaku disebabkan isu pengusiran beberapa keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.
Banyak komen negatif disuarakan sama ada oleh Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas atau para pejuang Palestin termasuk juga pakar politik di Asia Barat berhubung pelantikan Perdana Menteri Israel itu dan masa depan Palestin.
Kementerian Luar Palestin dilaporkan berkata, pihaknya tidak melihat sebarang perubahan dalam dasar-dasar baharu Israel ke atas Palestin malah ia mungkin akan menjadi lebih buruk lagi ketika rejim Zionis ditadbir oleh Bennett.
Pergerakan Hamas yang menentang penjajahan Israel dan terlibat dalam Perang Gaza pada tahun 2014 ketika rejim Zionis di bawah pemerintahan Netanyahu yang ketika itu menjadi Perdana Menteri turut mengulangi bahawa kerajaan haram tersebut perlu ditentang.
Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum dilaporkan berkata, mana-mana kerajaan haram Israel merupakan entiti penjajah dan ia perlu ditentang dalam apa jua bentuk penentangan termasuk melalui tentangan bersenjata.
Berikutan pertempuran selama 11 hari antara rejim Zionis dengan Hamas pada bulan lalu, populariti pergerakan tersebut dalam kalangan penduduk di Gaza semakin meningkat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri baharu rejim Zionis itu juga dilihat oleh seorang pakar undang-undang mempunyai pandangan yang lebih ekstrem berbanding dengan Netanyahu dalam isu konflik Palestin-Israel.
Profesor Madya Mahmoud Dodeen yang merupakan pensyarah undang-undang di Universiti Qatar dilaporkan memberitahu portal berita The Media Line bahawa Bennett percaya tentang peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Seorang lagi pakar politik Israel dan Palestin di Universiti Bridgeport di Connecticut, Amerika Syarikat (AS), Hassan Awwad turut berkongsi pandangan dengan Dodeen dengan menyatakan bahawa Bennett lebih ekstrem berbanding Netanyahu.
Beliau memberitahu portal berita The Media Line, dasar-dasar Israel tidak akan berubah walaupun kerajaan baharu haram mengambil alih pentadbiran rejim Zionis.
Bennett juga dikenali sebagai penentang sebuah negara Palestin dan peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Keadaan itu menyebabkan penduduk Palestin tidak menaruh harapan yang baik terhadapnya, kata seorang peguam Palestin, Ibrahim Shaaban. - Agensi