KETIKA rakyat terus dicengkam ketakutan mengenai penularan pandemik Covid-19 yang entah bila akan berakhir, tiba-tiba muncul satu lagi masalah yang seperti mahu menguji kesabaran kita.
Minyak masak naik harga lagi. Itulah menjadi rungutan dan rintihan pengguna sejak seminggu lalu.
Mengikut laporan, harga minyak masak bagi lima kilogram (kg) telah naik antara RM3-RM5 menjadikan ia kini dijual antara RM29-RM32 mengikut kawasan tertentu.
Walaupun tidak berlaku pembelian panik secara serius di seluruh negara, namun para pengguna menyedari kenaikan harga berkenaan dan telahpun mula membeli untuk menyimpan secara kecil-kecilan.
Apakah langkah kerajaan seterusnya membendung kenaikan minyak masak? Apakah membiarkan peniaga menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya?
Kerajaan sepatutnya menetapkan dasar dan mekanisme yang berkesan bagi mengawal harga minyak masak di negara ini.
Rakyat sebagai pengguna tidak boleh terus dibebankan dengan pengilang dan pemborong yang menaikkan harga barang keperluan itu dengan sewenang-wenangnya.
Kita seperti sudah terpedaya kerana setiap kali berlaku kenaikan, ia memberi peluang kepada sektor lain menaikkan harga barangan mereka.
Minyak masak naik RM0.20 1kg, nasi goreng yang dijualnya pun naik RM0.20 sepinggan. Banyak mana minyak masak yang diguna untuk siapkan satu pinggan nasi goreng? Apakah itu kalau bukan cekik darah namanya?
Kita tidak mahu kenaikan harga minyak masak itu menyebabkan rakyat terus beremosi dan menyalahkan kerajaan tidak buat kerja. Sejak diancam Covid-19, rakyat cukup marah kerajaan yang gagal memerangi secara berkesan. Isu harga minyak masak pun perlu diselesaikan dengan segera.