KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima sumbangan wang zakat korporat sebanyak RM1 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), hari ini.
Sumbangan zakat berkenaan disampaikan oleh Ketua Kumpulan Pengurusan Syariah BPMP, Mohamad Salihin Deris kepada Timbalan Pendaftar UMS, Mohd Zaidie Adilai, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu majlis di Masjid UMS, di sini, hari ini.
Iklan
Iklan
Terdahulu, D Kamarudin, dalam teks ucapannya yang dibacakan Zaidie, berkata, UMS berterima kasih kerana mendapat kepercayaan bank tersebut serta menjadi penyumbang terbesar untuk universiti berkenaan setakat ini.
"Sumbangan zakat yang terkumpul akan diagihkan kepada empat kategori iaitu asnaf fakir, miskin, mualaf dan fi sabilillah (pelajar). Sumbangan berkenaan diagihkan mengikut 1,021 permohonan zakat yang diterima melalui sistem e-zakat yang telah dibuka dari 26 Oktober hingga 26 November tahun lalu,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Islam UMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan BPMB, Nor Sham Soyod. - Bernama