SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menolak dakwaan mengatakan beliau tunduk kepada DAP, dan menegaskan parti itu sama sekali tidak menguasai Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, tindakan saman itu diambil bagi menjaga integriti TH yang mempunyai 9.2 juta pencarum.
"Memang betul saya akan saman, tetapi ia bukan kerana DAP, tetapi kerana tuduhan itu akan jejaskan TH yang mempunyai kepentingan umat Islam seramai 9.2 juta pendeposit dan kita dalam usaha pemulihan.
"Bukan saya menyaman kerana saya tunduk pada DAP, tetapi kerana beri amaran dan kerana mahu menjaga integriti serta mahu jaga kepentingan TH,” katanya menerusi rakaman video berdurasi hampir empat minit, di sini.
Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan Mujahid hanya mahu mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menuduhnya sebagai alat DAP sebaliknya tidak bertindak terhadap pihak yang menghina Islam dan institusi raja-raja Melayu.
Dalam pada itu, Mujahid turut mengingatkan Asyraf Wajdi supaya berpolitik secara berhemah dan berhenti membuat tuduhan liar atau fitnah yang tidak berfaktar.
Malah Mujahid menyifatkan tuduhan Asyraf Wajdi terhadap dirinya adalah berniat jahat kononnya beliau hanya berdiam diri apabila agama Islam dan institusi raja-raja Melayu diperlekehkan sesetengah pihak.
"Ini tidak betul, kerana ia usaha untuk menggambarkan kononnya saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Agama tidak mengambil berat malah tidak mempedulikan isu-isu penghinaan ini.
"Sedangkan kami menyatakan dengan jelas awal lagi bahawa setiap mereka yang melakukan jenayah mesti diambil tindakan apatah lagi jenayah menghina Islam dan institusi raja-raja Melayu,” katanya.