Comirnaty diluluskan untuk usia 12 tahun ke atas

Iklan
Vaksin Covid-19, Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan golongan berumur 12 tahun dan ke atas.

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Vaksin Covid-19, Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kali Ke-359 Berkenaan Pendaftaran Vaksin Covid-19.

Iklan
Iklan

"Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas," katanya pada Selasa.

Menurutnya, walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi.

Iklan

"Ia selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," kata beliau.

Pada 5 Mei lalu, Kanada menjadi negara pertama meluluskan penggunaan Comirnaty terhadap remaja berumur 12 tahun ke atas sebagai sebahagian usaha memerangi pandemik.

Iklan

Selain itu, langkah sama diikuti Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Jepun.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan mesyuarat berkenaan bersetuju untuk memberi pendaftaran kelulusan bersyarat kepada dua produk vaksin yang hanya mempunyai satu dos pelalian iaitu Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine dan Janssen Covid-19 Vaccine.

Convidecia merupakan keluaran CanSino Biologics Inc, China manakala Janssen dikeluarkan oleh Johnson & Johnson.

"Kedua-dua produk vaksin tersebut telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Tambah beliau, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari masa ke masa.

Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.

"KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta diluluskan oleh PBKD.

"Kerajaan juga komited memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK," katanya.